Perundangan
Sistem E-Kehakiman Bagi Mahkamah Di Seluruh Negara
Latar belakang
Sistem e-Kehakiman merupakan inovasi Badan Kehakiman Malaysia dalam mendigitalkan proses kerja dan pengendalian prosiding Mahkamah ke arah memperkasakan sistem kehakiman. Inisiatif ini adalah selaras dengan pelaksanaan Kerajaan Elektronik (e-Government) yang merupakan satu daripada aplikasi perdana dalam Koridor Raya Multimedia (MSC).
Sistem e-Kehakiman terbahagi kepada sistem aplikasi utama dan sistem teknologi Mahkamah bagi kegunaan warga Mahkamah dan pengguna Mahkamah. Sistem aplikasi utama mengandungi perkhidmatan bagi sistem e-Filing (EFS), Case Management System (CMS) dan Queue Management System (QMS). Manakala sistem teknologi Mahkamah merupakan sistem yang membolehkan prosiding Mahkamah direkodkan secara audio-visual melalui sistem Court Recording System (CRT).
Pembangunan sistem e-Kehakiman dilaksanakan secara berperingkat bermula dari tahun 2010 dan dimulakan dengan prosiding sivil dengan fokus utama kepada penyediaan infrastruktur, rangkaian dan pembekalan peralatan di bilik-bilik bicara Mahkamah serta pembangunan sistem aplikasi utama untuk pendigitalan proses kerja Mahkamah.
Mulai tahun 2017, sistem e-Kehakiman telah diperluaskan kepada prosiding sivil dan jenayah di semua peringkat Mahkamah dan proses kerja serta operasi Mahkamah telah beralih sepenuhnya daripada manual kepada sistem e-Kehakiman. Di samping itu, sistem e-Kehakiman turut diintegrasikan dengan sistem teras di agensi pemegang taruh seperti sistem COPS (PDRM), MySikap (JPJ), INSIST (Jabatan Insolvensi), MyIdentity (Jabatan Pendaftaran Negara), SMPP (Jabatan Penjara), iAGC (Jabatan Peguam Negara) dan MyeTaPP (JKPTG).
Pada tahun 2018, sistem e-Kehakiman telah melaksanakan modul yang membolehkan beberapa prosiding Mahkamah dijalankan secara maya meliputi modul e-Review (pengurusan kes secara dalam talian), e-Appellate (prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan dijalankan secara sidang video), e-Lelong (bagi membolehkan bidaan untuk lelongan awam secara dalam talian) dan e-Jamin (membolehkan penjamin mendepositkan wang jaminan secara dalam talian).
Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah memacu ke arah penggunaan e-Review dan e-Appellate secara optimum serta pengendalian prosiding menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh tanpa kehadiran fizikal pihak-pihak ke Mahkamah. Parlimen turut meluluskan pindaan undang-undang terhadap Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91] dan Akta Mahkamah Rendah 1948 [Akta 92] bagi mengadakan peruntukan nyata berkaitan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam prosiding Mahkamah.
Bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman dan keadilan adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan meningkatkan tahap kecekapan dan kualiti perkhidmatan kehakiman, mulai tahun 2021 sistem e-Kehakiman di seluruh Malaysia akan ditambah baik dengan pelaksanaan gudang data (data storage), big data dan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence). Malahan, pada masa ini projek rintis bagi Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (Sistem e-PG) telah dimulakan di Mahkamah Majistret Shah Alam dan akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang Jun 2021.
Impak
Pada tahun 2010 dan 2011, World Bank dalam Doing Business Report, telah mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan sistem e-Kehakiman daripada aspek produktiviti, penjimatan masa dan kos. Pengiktirafan lain yang diterima termasuklah 2012 CAPAM International Awards, Tempat Ketiga Kategori Produk Harapan Anugerah Inovasi Jabatan Perdana Menteri 2018 bagi Penjanaan Minit Prosiding Serta Waran Tangkap Berkelompok Secara Automasi Bagi Kes Saman Trafik Dalam Sistem CMS dan Integrasi data dan dokumen dengan sistem MyCOPS (PDRM), Most Outstanding Merchant FPX (online payment) bagi tahun 2011, 2012 dan 2013 serta anugerah World Summit Award 2009 daripada United Nation untuk sistem ICT bagi Sabah dan Sarawak.
Perkembangan sistem e-Kehakiman adalah seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 ke arah memastikan sistem penyampaian dan perkhidmatan Mahkamah adalah cekap, telus serta menjamin akses kepada keadilan yang lebih efektif dan mudah kepada rakyat. Inisiatif ini merupakan komitmen Badan Kehakiman untuk menyahut seruan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) pada Matlamat yang ke-16 iaitu “Peace, Justice and Strong Institutions”.
Pelaksanaan sistem e-Kehakiman turut memperkembangkan jurisprudence berkaitan konsep open justice sebagai satu norma baharu yang memperlihatkan bahawa prosiding Mahkamah kini tidak lagi bertumpu kepada proses Mahkamah secara fizikal dan inisiatif ini telah diterima baik oleh semua pengguna Mahkamah.
Kesimpulannya, pelaksanaan Sistem e-Kehakiman sedia ada dan program penambahbaikan yang berterusan diharapkan dapat memperkasakan Badan Kehakiman di samping mencapai sasaran utama iaitu kedudukan terbaik dalam sub indeks kecekapan kerajaan dalam Indeks World Competitiveness Yearbook, sub indeks perkhidmatan dalam talian bagi Indeks UN e-Government (EGDI) dan juga indeks persepsi rasuah.
Maklumat Lanjut
Sila Hubungi:
BAHAGIAN E-KEHAKIMAN
PEJABAT KETUA PENDAFTAR
MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA,
ISTANA KEHAKIMAN,
PUTRAJAYA
LAMAN SESAWANG RASMI:
PEJABAT KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH PERSEKUTUAN MALAYSIA