Tadbir Urus
Ketua Pegawai Digital (Chief Digital Officer, CDO)
Dalam era pendigitalan yang semakin pesat ini, transformasi pendigitalan merupakan tonggak utama dalam memastikan kerajaan kekal relevan, cekap dan berdaya saing. Seiring dengan itu, kepimpinan organisasi sektor awam dilihat dapat memainkan peranan yang signifikan dalam kejayaan transformasi pendigitalan negara.
Latar Belakang
Kepimpinan digital sektor awam telah dilihat seawal tahun 2000 di mana Ketua Pegawai Maklumat (Chief Information Officer, CIO) telah dilantik melalui Surat Arahan Penamaan CIO Sektor Awam oleh Ketua Setiausaha Negara pada 22 Mac 2000. Peranan CIO pada masa itu adalah bagi menentukan strategi dalam mencapai visi dan objektif pembangunan dan penggunaan ICT di agensi masing-masing.
Pada tahun 2022, seiring dengan transformasi pendigitalan yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital (RTEDM), semua CIO di agensi ditransformasikan kepada Ketua Pegawai Digital (Chief Digital Officer, CDO) dengan pemantapan kepada peranan CIO. Pelantikan CDO di sektor awam menjadi pemangkin perubahan bagi menghadapi transformasi ini dengan pendekatan yang strategik dan berkesan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui pendigitalan.
Pelbagai usaha pemantapan terus dilaksanakan bagi memastikan CDO dapat menjalankan tanggungjawab secara berkesan. Pada Mei 2025, dokumen Panduan Ketua Pegawai Digital (CDO) Sektor Awam telah diterbitkan sebagai rujukan kepada CDO sektor awam bagi memperkasakan tugas dan peranan masing-masing dalam memacu serta menjayakan agenda pendigitalan negara.
Peranan CDO Sektor Awam
- Meneraju inisiatif pendigitalan dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang memenuhi keperluan dan pengalaman rakyat, selamat, efisien, cerdas dan dipercayai.
- Memacu hala tuju pendigitalan berdasarkan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) di kementerian/jabatan/agensi melalui budaya berpacukan data, berpaksikan rakyat dan reka bentuk perkhidmatan berteraskan keselamatan.