Jurang Digital
Merapatkan Jurang Digital
Inisiatif siber Malaysia untuk membawa rakyat lebih dekat dengan manfaat maklumat digital
Sistem Permohonan PENJANA KPT-CAP
Pengenalan
Pada tahun 2020, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diluluskan peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi melaksanakan Program PENJANA KPT-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP). Program tersebut merupakan program berbentuk reskilling dan upskilling atau gig economy dan keusahawanan dengan peluang kepada graduan untuk mendapat penempatan pekerjaan. Tujuan program adalah untuk mengurangkan impak pandemik ke atas kebolehpasaran graduan negara ini.
Susulan itu, Sistem Pemohonan PENJANA KPT-CAP telah dibangunkan di bawah Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT), Kementerian Pengajian Tinggi. Sistem ini bertujuan untuk memudahkan graduan warganegara di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang layak, untuk memohon program-program yang ditawarkan di bawah PENJANA KPT-CAP.
Objektif
Sistem Pemohonan PENJANA KPT-CAP bertujuan memantau penawaran program oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelaksanaan program oleh syarikat penganjur program yang dilantik oleh IPT, bilangan permohonan dan penawaran program, kehadiran program serta prestasi perbelanjaan peruntukan yang telah disalurkan di bawah PENJANA kepada KPT bagi melaksanakan program ini. Data penawaran dan pelaksanaan program yang dikumpulkan dalam bentuk pelaporan berstruktur, akan dikemukakan kepada agensi penyelaras program peningkatan kemahiran di bawah PENJANA iaitu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Kementerian Sumber Manusia.
Sistem ini juga telah diintegrasikan dengan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Kementerian Pengajian Tinggi yang menyimpan maklumat graduan di institusi pengajian tinggi tempatan mulai tahun 2006 hingga kini. Hal ini bagi memudahkan graduan memohon Program PENJANA KPT-CAP tanpa perlu mengisi maklumat peribadi serta menunggu maklumat individu mereka disemak atau disahkan. Graduan hanya perlu log masuk sistem dengan menggunakan nombor kad pengenalan baharu sebagai identifikasi. Ini kerana semua data dalam SKPG telah disemak dan disahkan oleh IPT semasa penghantaran data ke KPT pada tahun konvokesyen graduan yang berkenaan.
Rantai Ke Hadapan (Way Forward)
Sistem ini akan diperluaskan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi membolehkan IPTS dan graduan IPTS memohon program di bawah PENJANA KPT-CAP. Selain itu, modul penawaran program PENJANA KPT-CAP serta pelaporan pelaksanaan program sedang ditambah baik bagi menjadikan sistem ini lebih fleksibel untuk mengendalikan program yang sangat dinamik akibat perubahan-perubahan yang perlu dilaksanakan susulan peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Selain itu, sistem ini akan diintegrasikan dengan Sistem MyMoheS, Kementerian Pengajian Tinggi iaitu sistem yang mengumpulkan maklumat pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti. Hal ini bagi membolehkan data pelajar tahun akhir di IPT berkenaan disemak melalui Sistem Permohonan PENJANA KPT-CAP, bagi memberi peluang kepada pelajar berkenaan untuk turut memohon program yang dinyatakan.
Impak
Pembangunan sistem ini telah memberi impak positif seperti berikut:
Graduan:
- Mengakses ke sistem permohonan dan penawaran Program PENJANA KPT-CAP dengan cepat dan mudah tanpa perlu tanpa perlu mengisi maklumat peribadi serta menunggu maklumat individu mereka disemak atau disahkan; dan
- Mengetahui kelayakan permohonan program serta maklumat terkini berkaitan penawaran program dengan mudah melalui notifikasi ke e-mel graduan secara berkala.
IPT:
- Menawarkan program, mengemaskini maklumat program, memantau permohonan program serta menjana pelaporan pelaksanaan Program PENJANA KPT-CAP secara terus melalui sistem; dan
- Memantau prestasi syarikat yang dilantik untuk melaksanakan program bagi pihak IPT.
KPT:
- Mengakses data dengan cepat dan mudah untuk penyediaan laporan dan maklum balas; dan
- Menganalisis trend dan menambah baik dasar dan mekanisme pelaksanaan Program PENJANA KPT-CAP; dan
- Menjana laporan pelaksanaan Program PENJANA KPT-CAP kepada pemegang taruh.
HRDF:
- Mengakses data dengan cepat dan mudah untuk penyediaan laporan dan maklum balas program peningkatan kemahiran di bawah PENJANA; dan
- Menjana laporan pelaksanaan Program PENJANA KPT-CAP kepada Kementerian Kewangan.
Maklumat Lanjut
Nama: Puan Salwati Badroddin
No.Telefon: 03-88705320
Emel: salwati.bad@mohe.gov.my
Nama: Puan Hanim Binti Sharom
No.Telefon: 03-88706914
Emel: hanim.s@mohe.gov.my
