Kenderaan Berautonomi
Augmented Reality Untuk Sistem Pemetaan Utiliti Bawah Tanah
Pengenalan
Augmented Reality (AR) merupakan satu teknologi yang boleh membawa pengguna mengalami keadaan di mana maklumat maya ditindih (overlay) ke dunia nyata. Dengan cara ini, pengguna boleh berhubung dengan dunia sebenar serta menerima data atau statistik pada masa yang sama. Interaksi data, grafik, audio dan penambahbaikan deria yang lain dalam persekitaran dunia nyata yang dipaparkan dalam masa nyata - dunia yang sebenarnya kita lihat, dunia di mana kita benar-benar bekerja, dunia yang kita lalui setiap hari.
Dalam konteks pemetaan utiliti bawah tanah, pembangunan Augmented Reality for Underground Utility Mapping System (ARUUMS) melibatkan data-data utiliti yang terdapat dalam Pangkalan Data Utiliti Kebansaan (PADU), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan dimasukkan dalam peranti dan ditindih dengan dunia nyata.

Latar belakang
ARUUMS merupakan antara inisiatif ICT Kerajaan yang dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Projek ini telah siap sepenuhnya pada 27 Februari 2021. Portal ARUUMS berupaya menjadi satu platform maklumat setempat yang dipertingkatkan dengan gabungan data utiliti daripada pelbagai jabatan/agensi yang lain. Portal ini dibangunkan adalah untuk memberi kemudahan capaian maklumat berasaskan web (web-based) yang menyediakan maklumat lengkap berserta metadata berkenaan data-data pemetaan utiliti dan taburan liputan data utiliti.
ARUUMS akan memaparkan data GIS di atas dunia nyata, membolehkan perancangan yang rapi dan keputusan segera dapat dibuat dilapangan secara terus serta pengguna mendapatkan maklumat berkaitan utiliti bawah tanah secara hakiki.
Modul-Modul Dalam ARUUMS
1. Administrator Module
Modul ini merupakan modul induk yang bertindak sebagai pengawal utama dalam lapisan portal ARUUMS. Modul ini akan mengawal dan menyelia modul-modul yang terdapat dalam portal. Modul ini digunakan oleh Bahagian Pemetaan Utiliti (BPU), JUPEM untuk menguruskan dan memantauan penggunaan portal ARUUMS.
2. User Module
Modul ini mengurus dan mentadbir akaun pengguna. Pengguna terdiri daripada warga BPU dan juga agensi-agensi penyedia utiliti. Modul ini adalah untuk pengguna membuat pendaftaran, mengemaskini profil, paparan dan dashboard pengguna berdasarkan kepada peranan pengguna.
Modul ini juga berkeupayaan untuk menyediakan Application Programming Interface (API) bagi kemudahan integrasi sistem dengan mengambilkira konsep single sign on (SSO) bagi pengguna yang berdaftar di sistem-sistem yang digunakan di Bahagian/ Seksyen JUPEM.
3. Workflow Module
Modul ini lebih kepada pengguna BPU untuk melaksanakan aliran proses kerja di dalam pejabat BPU dan aktiviti kerjaluar secara masa hakiki.
4. GIS and Interactive Map Module
Modul ini adalah paparan utama peta interaktif untuk portal ARUUMS. Ia menyediakan beberapa peta asas, lapisan (layer) data spatial, dan menyediakan tools yang berkenaan untuk kegunaan peta interaktif.
5. Repository Module
Modul ini melibatkan sub-modul data application, sub-modul document (non-spatial) dan sub-modul layer yang bertujuan untuk menyimpan dan berkongsi data spatial. Repository Module berfungsi memaparkan peta secara dinamik dan interaktif dan menyokong pelbagai format data GIS iaitu vektor dan raster. Kebenaran akses bagi setiap lapisan dalam modul ini akan ditentukan oleh pentadbir dan pemilik data.
Impak Pengunaan ARUUMS
1. Mobiliti
Bergantung kepada teknologi AR yang dimuatkan dalam peranti mudah alih seperti telefon bimbit, tablet dan komputer riba, mengurangkan beban dan meningkatkan mobiliti kerja-kerja di lapangan dalam mengenal pasti dan menggambarkan infrastruktur bawah tanah. Jaringan terus ke PADU dan lapangan mengurangkan kebergantungan untuk pelan hardcopy semasa tinjauan dan pengumpulan data serta data boleh dimasukkan ke dalam peranti mudah alih dan dikemas kini ke dalam PADU.
2. Masa
Teknologi AR berkesan digunakan di lapangan kerana ia meningkatkan tindak balas untuk memberi respons lebih cepat atau membuat keputusan melalui paparan visualisasi 3D.
3. Visualisasi Maya
Dengan klasifikasi 3D, ketepatan data utiliti bawah tanah dari sudut kedalaman, saiz, panjang dan koordinat XY diambil kira. Penyeragaman data utiliti bawah tanah daripada pelbagai agensi penyedia utiliti dan data JUPEM adalah penting untuk memastikan data itu boleh dipercayai dan difahami.
Faedah Penggunaan ARUUMS
- Dapat menentukan kedudukan aset utiliti semasa proses-proses kerja pemasangan yang membolehkan juruteknik/kontraktor tidak lagi perlu mentafsirkan rajah manual.
- Penggunaan aplikasi AR mampu menetapkan satu standard kerja yang baru yang dapat mengelakkan daripada berlakunya kerosakan aset-aset utiliti semasa proses penggalian serta dapat mengelakkan berlakunya kesilapan semasa proses penandaan konkrit/asfalt.
- Dapat mengelakkan daripada berlakunya gangguan bekalan utiliti yang tidak dirancang yang disebabkan oleh kerosakan yang berpunca dari pihak ketiga.
- Dapat membangunkan prosedur kerja yang lebih sistematik untuk tujuan keselamatan dan operasi bagi kejadian yang tidak dapat dijangka yang boleh menyebabkan risiko, bahaya atau kerosakan kepada aset utiliti, kontraktor ataupun orang awam.
- Mewujudan satu sistem peta utiliti yang diselaraskan kepada standard JUPEM
- Mewujudkan satu sistem rujukan spatial yang terurus membolehkan maklumat data utiliti bawah tanah diakses oleh pengguna dengan lebih tepat, lengkap dan dikemaskini tanpa kebimbangan daripada permasalahan kerja-kerja di lapangan yang mungkin timbul disebabkan kepelbagaian skala, orientasi, simbologi dari sistem maklumat spatial yang berbeza.
- Dapat akses segera ke persekitaran 3D melalui pelbagai jaringan internet. Ini secara tidak langsung membolehkan pengguna memperolehi maklumat mengenai ketepatan kedudukan aset utiliti seperti yang dinyatakan dalam metadata seperti maklumat atribut dan juga foto-foto yang diambil secara langsung semasa kerja-kerja pemasangan utiliti.
- Mengurangkan bebanan proses kerja luar dengan kembali semula ke pejabat.
- Agensi Penyedia Utiliti dapat melihat data-data utiliti yang telah mereka bekalkan kepada JUPEM.
Halatuju
Berdasarkan kerjayaan JUPEM dalam penggunaan teknologi AR, maka ia akan menjadi rujukan kepada Agensi Kerajaan, Agensi-agensi Penyedia Utiliti dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pengurusan aset utiliti bawah tanah masing-masing. ARUUMS yang disokong dengan maklumat utiliti bawah tanah yang berkualiti tinggi dapat membantu perancangan yang rapi, dapat mengurangkan risiko dan mengelakkan kerosakan infrastruktur utiliti di lapangan. Ini sudah pasti akan dapat mengurangkan kos pengalihan aset utiliti yang melibatkan perubahan kadar harga bagi projek-projek kerajaan yang selanjutnya juga akan mengurangkan tempoh masa pelaksanaan sesuatu projek.
Maklumat Lanjut
Pengarah Ukur Bahagian (Pemetaan Utiliti)
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia
Tingkat 4, Bangunan Ukur
Jalan Sultan Yahya Petra
505078 Kuala Lumpur
Tel : 03-2617 0800
