Dasar, Strategi dan Tadbir Urus
Bengkel Libat Urus Program Data Terbuka Sektor Awam
Latar Belakang
Sebagai peneraju transformasi digital, MAMPU telah melaksanakan inisiatif Perkongsian Data Sektor Awam bagi membentuk ekosistem maklumat sektor awam yang terdiri daripada Program Data Terbuka Sektor Awam (DTSA), Program Analitis Data Raya Sektor Awam (DRSA) dan Hub Perkongsian Data Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Central Data Exchange - MyGDX). Inisiatif Perkongsian Data Sektor Awam merupakan pemangkin kepada perkhidmatan Kerajaan Digital yang bersepadu, inklusif dan selamat serta dapat menggalakkan inovasi dalam perkhidmatan Kerajaan.
Pelaksanaan inisiatif Perkongsian Data Sektor Awam ini adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11, Bab 9, Strategi A3: memanfaatkan data bagi meningkatkan outcome dan mengurangkan kos dan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016 – 2020, di bawah Teras Strategik 2: Kerajaan Berpacukan Data serta turut menyokong Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030), SDG 16 – Peace, Justice and Strong Institutions.
Di bawah Program Data Terbuka Sektor Awam, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan pada tahun 2020, antaranya adalah Bengkel Libat Urus Data Terbuka Sektor Awam bagi membincangkan pemantapan kualiti set Data Terbuka, kepentingan pengemaskinian set data mengikut kekerapan yang ditetapkan serta memperkenalkan Portal Data Terbuka versi 2.0 dengan ciri-ciri baharu yang diharapkan dapat meningkatkan lagi kelancaran perkongsian Data Terbuka kepada rakyat dan pihak yang memerlukan.
Bengkel libat urus ini telah diadakan pada 3 Disember 2020 secara telesidang bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 12.30 tengah hari menggunakan aplikasi Microsoft Teams yang melibatkan pentadbir dan editor Data Terbuka serta Data Agent/Data Steward daripada Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK). Bengkel ini turut melibatkan sesi bimbingan atau latihan penggunaan Portal Data Terbuka versi 2.0 yang dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti fungsi perkongsian data secara Application Programming Interface (API) dan dashboard pengurusan penerbitan set Data Terbuka kepada admin dan editor agensi.
Objektif Bengkel
Objektif bengkel adalah untuk:
- menjelaskan tentang amalan baik tadbir urus data terbuka dalam sektor awam;
- memberikan pemahaman mengenai penerbitan data yang berkualiti;
- menjelaskan tentang kepentingan pengemaskinian set data mengikut kekerapan yang ditetapkan;
- memperkenalkan serta memberi latihan pengguna berkaitan Portal Data Terbuka versi 2.0 dan fungsi-fungsi baharu yang telah dibangunkan; dan
- menerangkan tentang rantaian kehadapan inisiatif Data Terbuka Sektor Awam bagi tahun 2021 – 2025.
Impak
Impak Bengkel Libat Urus Program Data Terbuka Sektor Awam adalah seperti berikut:
- meningkat pemahaman mengenai tadbir urus data terbuka sektor awam, penerbitan data terbuka yang berkualiti serta kepentingan pengemaskinian set data mengikut kekerapan yang ditetapkan;
- meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang Portal Data Terbuka versi 2.0 serta cara penggunaannya;
- meningkatkan pengetahuan tentang hala tuju inisiatif Data Terbuka Sektor Awam serta menggalakkan pemanfaatan Data Terbuka menerusi penghasilan aplikasi/produk berinovasi ke arah peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta ketelusan dan akauntabiliti Kerajaan.
Maklumat Lanjut
Maklumat Perhubungan: Pasukan Data Terbuka (dataterbuka@mampu.gov.my)
Media Sosial (Facebook/Twitter/Instagram): https://www.facebook.com/dataterbukasektorawam
