Dasar, Strategi dan Tadbir Urus
Dasar, Strategi dan Tadbir Urus merangkumi hala tuju utama, perancangan menyeluruh, serta sistem pelaksanaan yang telus dan berintegriti. Dasar menetapkan garis panduan, strategi menjelaskan pendekatan untuk capai objektif, manakala tadbir urus memastikan semua dilaksanakan secara berkesan, akauntabel, dan selaras dengan prinsip ketelusan
List of related articles:
Bengkel Libat Urus Program Data Terbuka Sektor Awam
Latar Belakang
Sebagai peneraju transformasi digital, MAMPU telah melaksanakan inisiatif Perkongsian Data Sektor Awam bagi membentuk ekosistem maklumat sektor awam yang terdiri daripada Program Data Terbuka Sektor Awam (DTSA), Program Analitis Data Raya Sektor Awam (DRSA) dan Hub Perkongsian Data Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Central Data Exchange - MyGDX). Inisiatif Perkongsian Data Sektor Awam merupakan pemangkin kepada perkhidmatan Kerajaan Digital yang bersepadu, inklusif dan selamat serta dapat menggalakkan inovasi dalam perkhidmatan Kerajaan.
Pelaksanaan inisiatif Perkongsian Data Sektor Awam ini adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11, Bab 9, Strategi A3: memanfaatkan data bagi meningkatkan outcome dan mengurangkan kos dan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016 – 2020, di bawah Teras Strategik 2: Kerajaan Berpacukan Data serta turut menyokong Sustainable Development Goals 2030 (SDG 2030), SDG 16 – Peace, Justice and Strong Institutions.
Di bawah Program Data Terbuka Sektor Awam, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan pada tahun 2020, antaranya adalah Bengkel Libat Urus Data Terbuka Sektor Awam bagi membincangkan pemantapan kualiti set Data Terbuka, kepentingan pengemaskinian set data mengikut kekerapan yang ditetapkan serta memperkenalkan Portal Data Terbuka versi 2.0 dengan ciri-ciri baharu yang diharapkan dapat meningkatkan lagi kelancaran perkongsian Data Terbuka kepada rakyat dan pihak yang memerlukan.
Bengkel libat urus ini telah diadakan pada 3 Disember 2020 secara telesidang bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 12.30 tengah hari menggunakan aplikasi Microsoft Teams yang melibatkan pentadbir dan editor Data Terbuka serta Data Agent/Data Steward daripada Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK). Bengkel ini turut melibatkan sesi bimbingan atau latihan penggunaan Portal Data Terbuka versi 2.0 yang dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti fungsi perkongsian data secara Application Programming Interface (API) dan dashboard pengurusan penerbitan set Data Terbuka kepada admin dan editor agensi.
Objektif Bengkel
Objektif bengkel adalah untuk:
- menjelaskan tentang amalan baik tadbir urus data terbuka dalam sektor awam;
- memberikan pemahaman mengenai penerbitan data yang berkualiti;
- menjelaskan tentang kepentingan pengemaskinian set data mengikut kekerapan yang ditetapkan;
- memperkenalkan serta memberi latihan pengguna berkaitan Portal Data Terbuka versi 2.0 dan fungsi-fungsi baharu yang telah dibangunkan; dan
- menerangkan tentang rantaian kehadapan inisiatif Data Terbuka Sektor Awam bagi tahun 2021 – 2025.
Impak
Impak Bengkel Libat Urus Program Data Terbuka Sektor Awam adalah seperti berikut:
- meningkat pemahaman mengenai tadbir urus data terbuka sektor awam, penerbitan data terbuka yang berkualiti serta kepentingan pengemaskinian set data mengikut kekerapan yang ditetapkan;
- meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang Portal Data Terbuka versi 2.0 serta cara penggunaannya;
- meningkatkan pengetahuan tentang hala tuju inisiatif Data Terbuka Sektor Awam serta menggalakkan pemanfaatan Data Terbuka menerusi penghasilan aplikasi/produk berinovasi ke arah peningkatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta ketelusan dan akauntabiliti Kerajaan.
Maklumat Lanjut
Maklumat Perhubungan: Pasukan Data Terbuka (dataterbuka@mampu.gov.my)
Media Sosial (Facebook/Twitter/Instagram): https://www.facebook.com/dataterbukasektorawam
Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA)
Latarbelakang
Data merupakan sumber yang amat bernilai dalam menyediakan perkhidmatan awam kepada rakyat, pengurusan pentadbiran negara dan pembangunan negara. Penggunaan data dalam inovasi berasaskan pendigitalan semakin penting selari dengan ekspektasi rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan yang lengkap, cepat dan mudah. Selari dengan cabaran pelaksanaan inovasi pendigitalan khususnya pelaksanaan inovasi yang memerlukan perkongsian data merentasi agensi, pembangunan Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dilaksanakan bagi menangani cabaran perkongsian data semasa yang melibatkan tiga aspek utama iaitu (1) manusia, (2) proses dan teknologi serta (3) perundangan.
Pekeliling dan dasar telah disediakan dengan mengambilkira penyelesaian kepada kekangan perkongsian data serta keperluan operasi pelaksanaan. DPDSA menjadi panduan penting kepada Agensi Sektor Awam untuk melaksanakan perkongsian data bagi menyokong inisiatif perkongsian data antara Agensi Sektor Awam dengan Agensi Sektor Awam (G2G), Agensi Sektor Awam dengan Komuniti Perniagaan (G2B), Agensi Sektor Awam dengan Rakyat (G2C) dan Agensi Sektor Awam dengan Penjawat Awam (G2E). Dasar ini memberikan panduan kepada Agensi Sektor Awam dalam melaksanakan perkongsian data yang sahih, selamat dan berkesan dengan menekankan pematuhan kepada prinsip perkongsian data dan penyediaan ekosistem perkongsian data yang cekap dan selamat.
DPDSA menetapkan Agensi Sektor Awam untuk menyediakan keperluan pemudah cara perkongsian data yang merupakan faktor kritikal dalam menentukan kejayaan pelaksanaan perkongsian data iaitu (1) kecekapan tadbir urus, (2) perundangan dan peraturan yang kondusif, (3) standard yang menyokong interoperability, (4) platform perkongsian data yang mapan, mampan dan selamat serta (5) pembudayaan yang berterusan.
Selain itu, DPDSA turut menyediakan panduan pelaksanaan perkongsian data dimana Agensi Sektor Awam hendaklah memastikan permohonan, pertimbangan dan penggunaan data dilaksanakan mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan perkongsian data. Agensi hendaklah jelas dengan peranan yang dilaksanakan sama ada sebagai Pemilik Data, Pengurus Data, Pembekal Data atau Pengguna Data. Tatacara umum permohonan dan kelulusan perkongsian data serta contoh surat dan dokumen perjanjian juga disediakan untuk rujukan agensi.
DPDSA juga menetapkan ekosistem perkongsian data yang melibatkan tiga (3) pihak iaitu (1) agensi pembekal data, pihak pengguna data dan pihak penyedia platform perkongsian data. Ketiga-tiga pihak ini perlu memahami dan melaksanakan tanggungjawab seperti yang dinyatakan dalam dokumen dasar. Platform perkongsian data perlulah mempunyai ciri-ciri standard seperti keselamatan, ketersediaan, visibility dan ketelusan, auditability, scalability, ketahanan dan kelestarian serta kemudahan untuk pemasangan. Adaptasi terhadap teknologi terkini dan berdaya tahan dalam menangani risiko kegagalan operasi adalah antara penentu kejayaan penggunaan platform perkongsian. Pasukan perkongsian data agensi perlu memahami secara teknikal tentang teknologi perkongsian data yang digunakan.
Pekeliling dan DPDSA telah dibangunkan dan sedang menunggu kelulusan untuk diterbitkan dan diedarkan kepada Agensi Sektor Awam. DPDSA menyokong SDG 11-Sustainable Cities & Communities dan SDG 16 - Peace, Justice and Strong Institution.
Outcome/Impak
Melalui DPDSA, adalah disasarkan objektif perkongsian data seperti berikut akan dapat dicapai:
a. Membolehkan penggunaan semula data merentasi Agensi Sektor Awam bagi mengurangkan pertindihan dalam usaha pengumpulan data yang dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos pembangunan aplikasi perkhidmatan sektor awam;
b. Memastikan data dapat dikongsi merentasi Agensi Sektor Awam dengan selamat, cekap dan berkesan; dan
c. Melonjakkan inovasi berpacukan data bagi memantapkan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan ke arah merealisasikan perkhidmatan digital sektor awam yang bersepadu, inklusif, terangkum dan selamat.
Maklumat Lanjut
Agensi bertanggungjawab : MAMPU (https://www.jdn.gov.my/)
Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP)
Latarbelakang/Overview Inisiatif
Dasar ini dibangunkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU, JPM), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi kerajaan yang lain yang mempunyai pengalaman dalam perkongsian data. Pelbagai sesi libat urus telah dijalankan bagi mendapatkan pandangan tentang ekosistem perkongsian data daripada pemain-pemain industri terutamanya daripada sektor perbankan, kewangan, sekuriti dan pelaburan (BSFI – Banking, Finance, Securities & Investments) termasuk Badan Bukan Kerajaan seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Sesi perbincangan bersama Sektor Awam yang terdiri daripada Kementerian-Kementerian/jabatan/agensi termasuk badan-badan berkanun juga telah dilaksanakan bagi menjelaskan ekspektasi pelaksanaan dasar ini di samping mendapatkan input dan pandangan yang menyeluruh bagi mempermudahkan pelaksanaannya kelak. Buat masa sekarang, dasar ini masih lagi menjalani proses untuk mendapatkan kelulusan di peringkat tertinggi Kerajaan.
Skop dasar ini merangkumi sektor awam, sektor swasta dan rakyat untuk memastikan pembentukan ekosistem perkongsian data yang lebih kondusif. Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDG) yang berkait rapat dengan dasar adalah Matlamat 8 (“Decent Work and Economic Growth”) dan Matlamat 9 (“Industry, Innovation and Infrastructure”).
Outcome/Impak
Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) ialah satu dokumen strategi jangka panjang dan usaha berterusan yang dirangka untuk mewujudkan ekosistem data yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara. Data adalah satu aset negara yang berperanan sebagai pemangkin utama kepada ekonomi digital dan Revolusi Peridustrian Keempat (4IR). Seterusnya dasar ini juga merealisasikan hasrat supaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpacukan data iaitu menggunakan data untuk membuat keputusan. Keputusan berpacukan data (“data-driven decision making”) akan dapat menyokong perkembangan inovasi, meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Maklumat Lanjut
Encik Mohamad Husni bin Ab Aziz
Ketua Penolong Setiausaha
Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Tel : 03-8911 5486
e-mel : husni@kkmm.gov.my
Garis Panduan Penerbitan Data Berimpak Tinggi
Pengenalan
Matlamat pelaksanaan data terbuka adalah untuk memberi impak kepada peningkatkan ketelusan penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi perkongsian data yang tepat, cepat dan relevan di samping dapat meningkatkan produktiviti ekonomi digital negara melalui industri atau inovasi baharu dengan penglibatan rakyat dan komuniti perniagaan.
Sepuluh (10) Prinsip Data Terbuka Sektor Awam telah disenaraikan di dalam Pekeliling Am Bil.1 Tahun 2015 Pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam iaitu Data Lengkap, Sumber Utama, Terkini, Kebolehcapaian, Kebolehbacaan Mesin, Tanpa Diskriminasi, Penggunaan Standard Terbuka, Pengakriban Data, Hak Penggunaan dan Kos Penggunaan.
Kaedah penyediaan set data terbuka untuk dimuat naik ke portal data.gov.my iaitu dalam format yang boleh dibaca oleh mesin dan metadata standard serta penilaian data berimpak tinggi memainkan peranan penting bagi memastikan data yang diterbitkan berkualiti untuk dikongsikan kepada semua.
Garis panduan penerbitan data berimpak tinggi akan memperhalusi ciri-ciri data berkualiti yang dapat memberi impak kepada pengguna data terbuka melalui perkongsian pintar bersama pakar-pakar data terbuka di lapangan yang terdiri daripada para penyelidik, akademia, industri dan badan-badan berkepentingan.
Adalah diharap dengan penerbitan garis panduan ini dapat membantu pembekal data lebih giat berkongsi data yang berimpak tinggi untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Objektif:
Status Penyediaan:
Garis panduan sedang dibangunkan oleh Pasukan Data Terbuka Sektor Awam.
Maklumat Lanjut:
Sila hubungi Pasukan Data Terbuka <dataterbuka@mampu.gov.my>
Garis Panduan Penerbitan Data Terbuka Mengikut Format Standard
Pengenalan
Penerbitan dan penggunaan semula data yang dapat dibaca oleh mesin adalah merupakan salah satu trend semasa dalam pengurusan data terutama dari aspek pergerakan data terbuka. Matlamat ini dapat dicapai dengan penghasilan format set data standard yang digunapakai oleh semua pembekal data terbuka.
Garis panduan penerbitan data terbuka mengikut format standard adalah merupakan salah satu dokumen rujukan yang digunakan untuk menghasilkan/menyediakan set data terbuka yang boleh dibaca oleh mesin secara langsung.
Menggalakkan penerbitan data terbuka dalam format yang boleh dibaca oleh mesin serta metadata yang berkaitan diharap dapat memupuk penggunaan semula data dan maklumat yang disediakan oleh badan sektor awam secara cekap dan berkesan bagi mencapai kepercayaan yang lebih besar dan ketelusan yang lebih baik.
Objektif
- Menyediakan panduan kepada pembekal data untuk menyediakan set data terbuka yang dalam format yang boleh dibaca oleh mesin dan metadata standard.
- Memastikan set data dapat diproses dengan mudah oleh komputer tanpa campur tangan manusia yang tinggi.
- Mengurangkan kebarangkalian kehilangan semantik data semasa memproses data.
Terdapat pelbagai format data yang boleh dibaca oleh mesin secara automatik seperti csv, json, xml, xbrl dan lain-lain. Data-data ini hendaklah disediakan dalam bentuk berstruktur bagi membolehkan ianya dibaca oleh mesin.
Di peringkat permulaan, garis panduan penerbitan yang disediakan menumpukan kepada format data csv. Format data ini dipilih kerana ia mudah disedia serta difahami oleh kebanyakkan pembekal dan pengguna data terbuka.
Maklumat Lanjut:
Sila hubungi Pasukan Data Terbuka <dataterbuka@mampu.gov.my>
Data Terbuka
Apa Itu Data Terbuka?
Data terbuka ialah data yang boleh digunakan secara bebas, boleh dikongsikan dan digunakan semula oleh rakyat, agensi Kerajaan dan swasta untuk pelbagai tujuan. Ia berperanan sebagai penggerak dalam inisiatif Kerajaan berpaksikan rakyat. Pelaksanaan data terbuka Kerajaan dapat meningkatkan ketelusan penyampaian perkhidmatan Kerajaan menerusi perkongsian data yang tepat, cepat dan relevan di samping meningkatkan produktiviti ekonomi digital negara melalui industri atau inovasi baharu dengan penglibatan rakyat dan komuniti perniagaan. Ia juga meletakkan Malaysia setaraf dengan negara lain dalam inisiatif Kerajaan Digital.
Mesyuarat Jawatankuasa Peneraju; National Key Economy Area;(NKEA; Communications Content and Infrastructure; (CCI) yang dipengerusikan oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia pada 29 Mei 2014 telah memutuskan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk melaksanakan Pembangunan Platform Data Terbuka Sektor Awam. Selaras dengan itu, bagi merealisasikan hasrat Kerajaan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Ogos 2014 telah bersetuju supaya agensi sektor awam melaksanakan inisiatif data terbuka.
Portal Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) telah dibangunkan pada tahun 2014 bagi menyokong hasrat kerajaan melaksanakan data terbuka. Portal DTSA memudahkan data terbuka kerajaan diakses secara berpusat daripada sumber yang rasmi.
Apakah Objektif Data Terbuka?
Objektif pelaksanaan data terbuka sektor awam adalah seperti yang berikut:
(i) Menggalakkan perkongsian data antara agensi sektor awam, swasta dan rakyat.
(ii)Meningkatkan kualiti dan ketelusan penyampaian perkhidmatan melalui perkongsian data terbuka secara dalam talian yang berpaksikan rakyat.
(iii) Menggalakkan produktiviti ekonomi digital melalui pewujudan industri atau inovasi baharu dengan penglibatan rakyat dan komuniti perniagaan.
Bagaimanakah pemantauan Data Terbuka?
Data terbuka dipantau melalui tadbir urus seperti rajah 1 dibawah:

Rajah 1 : Tadbir Urus Data Terbuka Sektor Awam

Ekosistem Data Terbuka Sektor Awam
Apakah perkongsian dan faedah yang diperolehi daripada DTSA?

Pautan kepada halaman yang spesifik
Polisi Data Terbuka
data.gov.my adalah portal rasmi Data Terbuka kerajaan Malaysia yang dilancarkan pada 18 Ogos 2014. Data yang terdapat dalam portal data.gov.my boleh digunakan secara bebas oleh mana-mana pengguna portal selagi tidak menyalahi terma dan syarat yang dinyatakan dalam polisi data.
Garis Panduan Permohonan Set Data
Garis panduan bagi permohonan set data adalah seperti berikut:-
- Pemohon mengisi maklumat pada borang yang disediakan di https://www.data.gov.my/app/permohonan-set-data
- Pilih sumber set data melalui senarai yang disediakan
- Pilih format yang diperlukan
- Hantar permohonan
Permohonan set data mestilah mematuhi syarat yang ditentukan.
Sila layari http://www.data.gov.my/page/termsofuse untuk syarat-syarat Penggunaan Data Terbuka Kerajaan.
Terma Penggunaan Data Terbuka Kerajaan
Penggunaan data atau penggunaan semula data hendaklah mematuhi terma dan syarat seperti di bawah.
1) Penggunaan data di bawah terma ini
Pemilik data memberi kebenaran penggunaan data tanpa sebarang caj.
2) Pengguna boleh melaksanakan perkara yang berikut:
- Salin, terbit, edar dan pindah data;
- Adaptasi data;
- Guna data secara komersial dan tidak komersial; dan
- Gabung data dengan data lain atau rangkum data dalam produk atau aplikasi.
3) Sekiranya melaksanakan mana-mana daripada yang dinyatakan pada para 2, pengguna HENDAKLAH:
- Menyatakan sumber data dalam produk atau aplikasi berdasarkan pernyataan yang ditentukan oleh pemilik data;
- Menyediakan pautan kepada Terma Penggunaan ini; dan
- Sekiranya pemilik data tidak menyediakan pernyataan pemilik harta intelek data, pengguna hendaklah menggunakan pernyataan seperti yang berikut:
"Data dan maklumat tertakluk di bawah Terma Penggunaan Data Terbuka Kerajaan Malaysia 1.0 "
4) PENGECUALIAN
Terma Penggunaan ini tidak memperuntukkan sebarang hak terhadap:
- Data peribadi;
- Nama, jata, logo atau sebarang simbol rasmi pemilik data;
- Logo organisasi sektor awam atau jabatan;
- Lambang diraja dan lambang tentera;
- Hak pihak ketiga yang mana pemilik data tiada kuasa terhadapnya;
- Sebarang hak harta intelek termasuk paten, tanda dagangan dan hak reka bentuk; dan
- Dokumen identiti seperti Pasport Malaysia, MyKad.
5) TIADA JAMINAN
- Data adalah dalam bentuk seperti yang disediakan oleh pemilik data. Pemilik data dikecualikan daripada sebarang representasi, waranti, obligasi dan liabiliti berhubung data; dan
- Pemilik data tidak bertanggungjawab terhadap sebarang ralat dan kehilangan data. Pemilik data juga tidak bertanggungjawab terhadap sebarang jenis kehilangan, kecederaan atau kerosakan kesan daripada penggunaan data tersebut. Pemilik data tidak memberikan jaminan data disediakan secara berterusan.
6) UNDANG-UNDANG
Terma Penggunaan ini ditadbir oleh undang-undang di bawah bidang kuasa dan pemilik data ialah pemilik utama bagi data tersebut.
Tarikh Pindaan: 30 SEPTEMBER 2015
