Dasar, Strategi dan Tadbir Urus
Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP)
Latarbelakang/Overview Inisiatif
Dasar ini dibangunkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU, JPM), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi kerajaan yang lain yang mempunyai pengalaman dalam perkongsian data. Pelbagai sesi libat urus telah dijalankan bagi mendapatkan pandangan tentang ekosistem perkongsian data daripada pemain-pemain industri terutamanya daripada sektor perbankan, kewangan, sekuriti dan pelaburan (BSFI – Banking, Finance, Securities & Investments) termasuk Badan Bukan Kerajaan seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Sesi perbincangan bersama Sektor Awam yang terdiri daripada Kementerian-Kementerian/jabatan/agensi termasuk badan-badan berkanun juga telah dilaksanakan bagi menjelaskan ekspektasi pelaksanaan dasar ini di samping mendapatkan input dan pandangan yang menyeluruh bagi mempermudahkan pelaksanaannya kelak. Buat masa sekarang, dasar ini masih lagi menjalani proses untuk mendapatkan kelulusan di peringkat tertinggi Kerajaan.
Skop dasar ini merangkumi sektor awam, sektor swasta dan rakyat untuk memastikan pembentukan ekosistem perkongsian data yang lebih kondusif. Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDG) yang berkait rapat dengan dasar adalah Matlamat 8 (“Decent Work and Economic Growth”) dan Matlamat 9 (“Industry, Innovation and Infrastructure”).
Outcome/Impak
Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) ialah satu dokumen strategi jangka panjang dan usaha berterusan yang dirangka untuk mewujudkan ekosistem data yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara. Data adalah satu aset negara yang berperanan sebagai pemangkin utama kepada ekonomi digital dan Revolusi Peridustrian Keempat (4IR). Seterusnya dasar ini juga merealisasikan hasrat supaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpacukan data iaitu menggunakan data untuk membuat keputusan. Keputusan berpacukan data (“data-driven decision making”) akan dapat menyokong perkembangan inovasi, meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Maklumat Lanjut
Encik Mohamad Husni bin Ab Aziz
Ketua Penolong Setiausaha
Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Tel : 03-8911 5486
e-mel : husni@kkmm.gov.my
