Dasar, Strategi dan Tadbir Urus
Perancangan Kajian Impak Data Terbuka Sektor Awam
Pendahuluan
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri merupakan agensi peneraju inisiatif Data Terbuka yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan ketelusan penyampaian perkhidmatan awam melalui perkongsian maklumat Kerajaan. Pelaksanaan inisiatif Data Terbuka ini adalah selaras dengan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016-2020 di bawah Teras Strategik "Kerajaan Berpacukan Data", dan Bab 9, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), bagi Menstransformasi Perkhidmatan Awam untuk Produktiviti. Pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) dalam kalangan agensi membolehkan data sedia ada digunakan untuk analisis yang lebih berkesan, mendapatkan maklum balas daripada orang awam secara interaktif dan menggalakkan penggunaan data kerajaan secara inovatif.
DTSA juga dilaksanakan dengan hasrat untuk memanfaatkan data bagi meningkatkan outcome dan mengurangkan kos serta mentransformasi produktiviti perkhidmatan awam. MAMPU menerajui dan menyelaras pelaksanaan Program Pemerkasaan Lautan Data melalui Data Terbuka yang bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan berpacukan data. Projek ini terus diperkasakan selaras dengan Pelan Strategik ICT Sektor Awam 2016-2020, Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025, Dasar 4IR Negara dan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia.
Pada tahun 2021, MAMPU akan melaksanakan Kajian Impak Pelaksanaan Data Terbuka Sektor Awam yang telah dilaksanakan sepanjang 5 tahun yang lalu. Kajian impak ini dilaksanakan bagi menilai pelaksanaan DTSA sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 dan mendapatkan input untuk perancangan pelaksanaan seterusnya. Dapatan kajian akan digunakan oleh MAMPU untuk merancang, mengurus dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan pelaksanaan DTSA.
Cadangan Pelaksanaan Kajian Impak DTSA
Pada 2021, MAMPU akan melaksanakan Kajian Impak terhadap Program Data Terbuka Sektor Awam yang telah dilaksanakan sepanjang 5 tahun yang lalu. Objektif kajian adalah bagi menilai tahap keberkesanan pelaksanaan DTSA sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 dan mendapatkan input untuk perancangan pelaksanaan seterusnya.
Tempoh kajian adalah selama 4 bulan bermula Mac hingga Julai 2021 yang melibatkan semua kementerian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) dan agensi pembekal data terbuka di pihak kerajaan. Kajian ini juga akan diperluaskan kepada pengguna data terbuka dan komuniti Malaysia Open Data User Group (MODUG) yang terdiri daripada akademia, penyelidik, Non-Govenment Organisation (NGO) dan orang awam.
Kajian ini akan menggunakan metodologi Open Data for Development Country (ODDC) yang turut digunakan oleh pelbagai negara bagi melaksanakan kajian impak mengenai Data Terbuka di negara masing-masing.
Skop Kajian Impak
Terdapat empat (4) perkara yang dinilai melalui kajian ini seperti berikut:
1. Tahap kesediaan agensi Sektor Awam terhadap pelaksanaan DTSA
Menilai tahap kefahaman agensi sektor awam berkaitan dengan objektif dan kepentingan pelaksanaan DTSA serta kesediaan agensi dalam melaksanakannya.
2. Tahap keberkesanan pelaksanaan DTSA
Menilai keberkesanaan pelaksanaan aktiviti/program DTSA yang meliputi tadbir urus, garis panduan, platform data terbuka, penerbitan set data dan program inovasi dalam melancarkan dan menjayakan inisiatif DTSA serta membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berpacukan data.
3. Tahap penggunaan Set Data Terbuka Sektor Awam
Menilai tahap keberkesanan penerbitan dan penggunaan set data di portal Data Terbuka oleh pengguna Data Terbuka dan keberkesanannya dari aspek kualiti dan kuantiti bagi memenuhi ekspektasi pengguna data.
4. Tahap kepuasan pengguna terhadap pelaksanaan DTSA
Menilai tahap kepuasan pembekal dan pengguna Data Terbuka terhadap pelaksanaan DTSA sepanjang tempoh 5 tahun yang lepas dari aspek fasiliti dan perkhidmatan yang disediakan.
Faedah Hasil Kajian
Hasil kajian ini amat penting bagi membantu MAMPU merangka strategi dan tindakan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanaan pelaksanaan aktiviti dan program-program berkaitan Data Terbuka pada masa hadapan terutamanya ke arah memupuk budaya perkongsian data, meningkatkan jalinan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan pihak swasta dalam mencapai aspirasi negara selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025, Dasar 4IR Negara dan Blueprint Ekonomi Digital Malaysia.
Maklumat Lanjut
Bahagian Kerajaan Digital
Aras 6, Blok B, Bangunan MKN-Embassy Techzone
Jalan Teknokrat 2, 63000 Cyberjaya
Selangor, Malaysia
03-8872 5079 / dataterbuka@digital.gov.my
