Pendigitalan Norma Baharu (Pasca-Pandemik)
Pameran #MyAPEC2020
Berikutan dari penularan wabak COVID-19, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengorak langkah ke arah pendigitalan. Bersempena Malaysia sebagai tuan rumah kepada Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC 2020), MATRADE telah menganjurkan Pameran #MyAPEC2020 Exhibition. Pameran secara maya yang julung kali dianjurkan ini memperkenalkan platform e-perniagaan interaktif yang mempunyai 4 komponen utama iaitu pameran maya, B2B meeting (eBizMatch), business pitching serta webinar.
Platform pameran ini dibangunkan oleh Fusionex, rakan perkongsian strategik teknologi di bawah program usahasama APEC 2020. Platform ini menyediakan jaringan perniagaan dan kerjasama perniagaan di kalangan pempamer dan juga ahli perniagaan bukan sahaja dari ekonomi APEC malah dari seluruh dunia. Kerjasama kedua-dua pihak ini berlaku tepat pada masanya untuk mempertingkatkan usaha transformasi promosi eksport selaras dengan perkembangan ekonomi dan keadaan semasa serta perkembangan digitalisasi global.
Pameran maya ini turut menyediakan direktori untuk membolehkan pengunjung melayari maklumat berhubung produk dan perkhidmatan yang ditawarkan serta berhubung dengan syarikat pempamer. Sesi business pitching memberi peluang kepada syarikat untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan secara langsung kepada pembeli secara maya. B2B meetings (eBizMatch) pula merupakan pertemuan perniagaan di antara pembeli dan pempamer dilaksanakan secara dalam talian. Sesi webinar dijadualkan untuk memberi maklumat terkini berhubung dengan ekosistem serta peluang perniagaan di kalangan ekonomi APEC, dilengkapi dengan Q&A chat . Kesemua ini adalah di bawah satu platform.
