Pendigitalan Norma Baharu (Pasca-Pandemik)
Persediaan Dan Tanggungjawab Krisis - Covid-19
Latar belakang
Pandemik Covid-19 telah bermula di Malaysia pada akhir Januari 2020. Ianya telah menular ke seluruh negara yang mana ianya berada ditahap yang membimbangkan bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Hampir keseluruhan negara mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang menghadkan sama ada rakyat negara tersebut atau negara asing yang ingin keluar daripada sesebuah negara bagi mengekang kes penularan wabak Covid-19.
Kementerian Luar Negeri melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa prihatin dan mengambil berat akan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di luar negara. Melalui lebih 100 Perwakilan Malaysia yang beroperasi di seluruh dunia, Kementerian Luar Negeri bertindak menghulurkan bantuan atau pemudah cara kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19, terutamanya dari segi memudahkan kepulangan mereka ke tanah air.
Sehingga 9 Mac 2021, Kementerian Luar Negeri telah berjaya memudahkan kepulangan seramai 27,054 orang rakyat Malaysia ke tanah air yang terkandas di 99 buah negara. Usaha ini direalisasikan melalui 556 buah penerbangan komersial dan pesawat-pesawat sewaan khas, termasuk oleh pihak persendirian. Malaysia juga telah bekerjasama dengan pelbagai negara lain dalam membantu sebagai pemudah cara kepulangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Selain itu, Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersiap sedia untuk membantu rakyat Malaysia yang mungkin terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sebagai satu alternatif digital, Kementerian Luar Negeri telah menyediakan Sistem e-Konsular yang mana permohonan Sijil Kelakuan Baik (SKB) bagi tujuan untuk bekerja, belajar atau menetap di luar negara, Sijil Pelepasan Keluar Negeri yang diperlukan di Amerika Syarikat dan juga Pendaftaran Rakyat Malaysia di Luar Negara boleh dilaksanakan secara dalam talian. Dengan adanya sistem secara berpusat ini ianya dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan konsular kepada pelanggan dan rakyat serta mewujudkan sistem dan pangkalan data terpusat secara sistematik.
Pewujudan Sistem e-Konsular ada melibatkan integrasi antara sistem milik agensi-agensi kerajaan Malaysia iaitu Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara. Jalinan integrasi antara sistem di agensi telah memberikan manfaat kepada sistem ini dari segi memudahkan tadbir urus permohonan, penjimatan masa dan kesahihan maklumat permohonan yang diterima. Pelaksanaan sistem ini juga dapat dilihat sebagai kemudahan bagi para permohon yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang tanpa perlu hadir ke Kementerian Luar Negeri untuk berurusan. Sistem ini juga turut memberikan kesan signifikan dalam prosedur-prosedur perkhidmatan seperti permohonan SKB dan pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara dengan memendekkan tempoh masa permohonan dan kelulusan serta memudahkan proses permohonan dan pendaftaran.
Rakyat Malaysia yang berada di luar negara dinasihatkan untuk mendaftarkan diri mereka dengan Pejabat Perwakilan Malaysia terdekat atau melalui sistem e-Konsular. Ini boleh membantu Pejabat Perwakilan Malaysia memantau dan menyalurkan bantuan sekiranya ada di antara mereka yang terjejas. Sebagai contoh, bagi rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan serta bercadang untuk pulang ke Malaysia, Pejabat Perwakilan Malaysia boleh membantu sebagai pemudah cara supaya mereka dapat pulang ke tanah air dengan lancar dan selamat.
Maklumat Lanjut
Telefon untuk dihubungi : +603 8887 4570
Emel untuk dihubungi : dutyofficer [at] kln.gov.my
Media Sosial (Facebook/Twitter/Instagram) :
FacebookTwitterInstagra