Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Garis Panduan Pemetaan Utiliti Bawah Tanah
Pengenalan
Pemetaan utiliti bawah tanah adalah merupakan satu proses kerja-kerja pengukuran dan pengesanan untuk memperoleh data-data pepasangan utiliti dari aspek kedudukan, kedalaman, jenis, dan saiz pepasangan utiliti yang terdapat/ditanam di bawah tanah.
Latar belakang
Masalah gangguan perkhidmatan akibat kerosakan saluran utiliti bawah tanah sering berlaku apabila kontraktor yang dilantik oleh agensi penyedia utiliti atau pemaju menjalankan kerja-kerja pengorekan tanpa maklumat lokasi utiliti yang mencukupi atau dengan menggunakan maklumat yang tidak tepat. Menyedari akan permasalahan ini, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 24 Ogos 1994 dan 14 Januari 1998 telah bersetuju supaya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menyimpan peta-peta yang berkaitan utiliti yang terdapat di bawah tanah, pihak penyedia utiliti dikehendaki mengemaskinikan pangkalan data utiliti mereka dan membekalkan maklumat dari pangkalan data tersebut kepada JUPEM.
Bagi melaksanakan arahan Kerajaan ini, JUPEM mulai tahun 2006 telah menubuhkan satu bahagian yang bertanggungjawab melaksanakan urusan berkaitan penyimpanan dan penyenggaraan maklumat utiliti bawah tanah. dan membangunkan Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) sebagai repositori data-data utiliti yang dibekalkan oleh Agensi-agensi Penyedia Utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Agensi Pembentungan Negeri, Gas, Petrolium, dan Syarikat Air Negeri.
Inisiatif
Bagi merealisasikan aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah di Malaysia, JUPEM telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan standard dan spesifikasi pemetaan utiliti untuk dipraktikkan oleh semua penyedia utiliti dan Juruukur Tanah Berlesen (JB) yang dilesenkan di bawah Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958. Senarai garis panduan yang dikeluarkan oleh JUPEM melalui pekeliling adalah seperti berikut:
1. Pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan (PKPUP) Bil 1 Tahun 2006 mengenai Garis Panduan Pemetaan Utiliti Bawah Tanah
