Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Identiti Digital Nasional (IDN)
Latarbelakang
Kerajaan Malaysia mengambil perhatian serius mengenai kepentingan identiti digital selaras dengan arus pendigitalan sejagat masa kini. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2019 telah bersetuju supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi (KKMM) dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan kajian terperinci Rangka Kerja Identiti Digital Nasional.
Sehubungan itu SKMM telah melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mengendalikan kajian bermula pada 21 November 2019 dan telah selesai pada 31 Ogos 2020. Lapuran Rangka Kerja Identiti Digital Nasional ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September 2020 melalui Nota Jemaah Menteri oleh KKMM dan dipersetujui untuk menimbangkan bahawa perlaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Disamping itu, Mesyuarat Majlis Digital Ekonomi dan 4IR Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Oktober 2020 juga telah bersetuju mengenai perlaksanaan IDN. Pada 19 Februari 2021, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Pelan Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital bagi merancakkan aktiviti dan urus niaga yang didorong oleh sektor awam dan swasta untuk menghasilkan, mengadopsi dan menginovasi teknologi dan perkhidmatan digital berkaitan dengan fungsi sosio-ekonomi untuk peningkatan kekayaan, produktiviti dan kualiti hidup rakyat Malaysia. Inisiatif IDN merupakan sebahagian dari program dalam MyDigital untuk meningkatkan keselamatan, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan lebih memudahkan.
Lanjutan dari itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri pada 14 April 2021 dan Jemaah Menteri bersetuju pelaksanaan IDN diterajui oleh KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
