ICT Sebagai Perkhidmatan
Kad Pengenalan (MyKad)
Pengenalan
MSC Malaysia berbangga untuk berkongsi dengan seluruh dunia ciptaan inovasi anak tempatan bagi meningkatkan kualiti dan gaya hidup melalui kecanggihan teknologi Kad Pintar Pelbagaiguna Kerajaan atau dikenali sebagai MyKad. MyKad bukan sahaja Kad Pengenalan Diri tetapi merangkumi aplikasi lain yang boleh digunapakai oleh orang ramai untuk urusan harian. Aplikasi utama yang telah disediakan ialah seperti pengesahan identiti, kesihatan, pembayaran, pengaksesan, perniagaan dan servis peruncitan. Aplikasi baru boleh ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan sesuatu organisasi dan individu. MyKad mempunyai ciri-ciri keselamatan yang terbaik. Dilengkapi penggunaan cip pintar dan teknologi biometrik terkini dalam reka bentuknya. MyKad mengadaptasi dua jenis teknologi biometrik seperti gambar digital berwarna dan imbasan digital ibu jari pemegang kad ke dalam cip. MyKad mempastikan semua data adalah tepat dan selamat dari sebarang ancaman pengklonan.
Latar Belakang
Kad pengenalan pertama di Malaysia telah dikeluarkan pada tahun 1948. Tujuan utama pengeluaran kad pengenalan pada ketika itu adalah untuk menjaga keselamatan negara daripada ancaman komunis dengan mengawal pergerakan orang ramai. Pengenalan diri telah diwajibkan kepada rakyat Malaysia yang berumur 12 tahun ke atas dan ia telah berjaya menangani pergerakan komunis kerana kebebasan bergerak hanya terhad kepada pemegang kad pengenalan pada waktu itu.
Kad Pengenalan Malaysia telah melalui pelbagai perubahan seiring dengan usaha mempertingkatkan ciriciri keselamatan fizikal kad tersebut. Bermula pada tahun 1960 kad pengenalan mengalami evolusi pertama daripada kad berasaskan kertas diubah kepada kad plastik dan maklumat bertulisan tangan. Seiring dengan kemajuan negara, usaha mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan juga berterusan hingga tahun 1990 apabila Kad Pengenalan Bermutu Tinggi yang berlapiskan plastik dan foto hitam-putih dihasilkan. Ketika itu, penggunaan sistem pengkomputeran mula diperkenalkan bagi merekod maklumat pemilik. Pada 1999 pula, JPN telah memperkenalkan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi berlapiskan plastik dan foto berwarna kepada setiap pemilik kad.
Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia Keempat pada tahun 1996 telah mengilhamkan Projek Kad Pintar Pelbagaiguna Kerajaan atau MyKad untuk rakyat Malaysia. Beliau percaya pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertingkatkan dengan penggunaan MyKad kerana sektor k-ekonomi memerlukan platfom seperti ini untuk merangsang aktiviti elektronik dagang ketika itu.

