ICT Sebagai Perkhidmatan
Peristiwa Kehidupan (LE)
Pengenalan
Peristiwa kehidupan atau life event (LE) boleh digambarkan sebagai peristiwa yang mempunyai impak yang signifikan terhadap kehidupan rakyat. Konsep peristiwa kehidupan yang dibangunkan di Portal MyGovernment adalah sebagai pencetus bagi penawaran perkhidmatan kerajaan yang disesuaikan mengikut keadaan yang diperlukan oleh rakyat. Pendekatan peristiwa kehidupan ini membolehkan rakyat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan mengikut keperluan / mereka. Sebagai contoh rakyat yang hendak “memulakan perniagaan” akan disediakan dengan informasi untuk mendapatkan penyelesaian kepada keperluannya. Portal yang dibangunkan menggunakan pendekatan ini menentukan set maklumat atau perkhidmatan berkaitan yang diperlukan oleh rakyat/pengguna. Selain itu, konsep ini adalah dengan mengintegrasikan satu set perkhidmatan yang saling berkaitan mengikut peristiwa kehidupan yang diperlukan dan memberikan nilai tambah kepada rakyat.
Latar belakang
Inisiatif Kerajaan Digital adalah untuk menyediakan maklumat dan perkhidmatan dalam talian yang berpaksikan rakyat. Fokus inisiatif ini adalah untuk memenuhi keperluan rakyat disamping meningkatkan kepuasan dalam menggunakan perkhidmatan dalam talian yang ditawarkan. Untuk merealisasikan hasrat ini, maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan bukan sahaja perlu mengambilkira kehendak rakyat, malah perlu mempunyai nilai tambah dan holistik. Pendekatan peristiwa kehidupan ini dapat memenuhi keperluan rakyat dengan merakyatkan perkhidmatan awam melalui inisiatif pembangunan gerbang tunggal berkonsepkan peristiwa kehidupan dan berpaksikan rakyat.
Penyataan Masalah
Portal konvensional Kerajaan memerlukan rakyat untuk mengetahui sendiri maklumat dan perkhidmatan yang mereka perlukan. Maklumat dan perkhidmatan yang diperlukan terdapat di pelbagai agensi dan tidak berpusat. Terdapat keperluan untuk merekabentuk penawaran perkhidmatan Kerajaan yang memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat. MAMPU telah mengambil langkah mewujudkan inisiatif ini apabila menyedari tuntutan rakyat yang mendesak dan kesukaran mereka untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang komprehensif, holistik dan berpusat.
