ICT Sebagai Perkhidmatan
Pusat Latihan Malaysia (MyTC)
Pengenalan
MyTC merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) dengan solusi strategik untuk memperkukuhkan program pembangunan modal insan dengan pengisian latihan yang berfokus dan berimpak tinggi melalui perkongsian fasiliti Institut Latihan Awam (ILA) seluruh negara.
Latar belakang
Mesyuarat Jawatankuasa National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara pada 29 Oktober 2012 telah bersetuju bahawa MyTC dijadikan sebagai satu daripada projek National Flagship di bawah inisiatif NBOS.
Inisiatif MyTC diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bersama-sama Unit Perancang Ekonomi (EPU). Rakan-rakan Strategik lain adalah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pertahanan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, 1Malaysia for Youth (iM4U) dan semua ILA.
Dengan memanfaatkan teknologi semasa sebagai enabler, Portal MyTC dibangunkan untuk menyediakan perkhidmatan tempahan fasiliti dan kursus.
Objektif
(a) Mengoptimumkan penggunaan kemudahan latihan di Pusat Latihan Awam (Institut Latihan Awam - ILA) kementerian dan agensi Kerajaan; dan
(b) Membantu Kerajaan dalam membuat keputusan strategik berkaitan Pusat Latihan Awam.
Dengan hanya mengakses portal MyTC, pengguna pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan boleh membuat tempahan dalam talian untuk menggunakan kemudahan latihan (fasiliti) ILA seperti auditorium, bengkel, dewan pelbagai guna, kemudahan sukan dan asrama.

