Kesalinghubungan
Inisiatif Perkhidmatan Malaysia Research Education Network (MYREN)
- LATAR BELAKANG
1.1 MALAYSIAN RESEARCH AND EDUCATION NETWORK
Malaysian Research and Education Network (MYREN) merupakan jaringan jalur lebar yang didedikasikan khas untuk aktiviti pembelajaran dan penyelidikan. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Julai 2003 telah bersetuju dengan cadangan daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) akan perkara-perkara berikut:
- Malaysia menawarkan untuk menjadi Pusat Serantau Asia Tenggara bagi jaringan penyelidikan Trans-Eurasia Information Network (TEIN South East Asia Hub - SEA Hub) iaitu sebuah projek di bawah naungan Asia-Europe Meeting (ASEM).
- Membangunkan jaringan penyelidikan tempatan iaitu Malaysia Research and Education Network (MYREN).
- Kerajaan Malaysia membiayai sebahagian kos pelaksanaan bagi kedua-dua projek iaitu TEIN South Asia Hub – SEA Hub dan MYREN.
Susulan daripada itu, MYREN telah dilancarkan pada Mac 2005 dan pada ketika itu adalah di bawah pentadbiran KTAK. Bersesuaian dengan penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi serta sebagai pengguna utama MYREN, Jemaah Menteri pada 19 Disember 2008 mengambil maklum akan nota dari Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi: H774/2008 mengenai penyerahan projek MYREN dari KTAK kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Sehingga kini, pengurusan dan pelaksanaan projek MYREN adalah di bawah KPT.
Rangkaian MYREN yang pada permulaannya menghubungkan 12 Universiti Awam sahaja kini meliputi 166 institusi terdiri daripada 20 Universiti Awam, 3 Universiti Swasta, 33 Politeknik, 102 Kolej Komuniti, 4 Hospital Pengajar Universiti dan 4 agensi di bawah KPT. Perancangan peluasan rangkaian MYREN akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
1.2 MATLAMAT DAN MANFAAT MYREN
MYREN yang dihubungkan melalui 7 Point of Presence (PoP) berperanan untuk menghubungkan ahli akademik, penyelidik, dan saintis di seluruh negara melalui rangkaian yang berkelajuan tinggi. Rangkaian ini merupakan telco yang neutral dan beroperasi dalam persekitaran dwi timbunan (IPv4/IPv6). Tujuh lokasi PoP di seluruh Malaysia iaitu di Pusat Data Enstek Kementerian Pendidikan Malaysia (PoP Central 1), Universiti Malaya (PoP Central 2), Universiti Sains Malaysia (Northern PoP), Universiti Teknologi Malaysia (Southern PoP), Universiti Malaysia Pahang (East PoP), Universiti Malaysia Sabah (Sabah PoP) dan Universiti Malaysia Sarawak (Sarawak PoP) menjadi titik sambungan antara semua ahli MYREN di Malaysia.
Rangkaian MYREN yang turut dihubungkan melalui Rangkaian Penyelidikan dan Pendidikan Kebangsaan (NREN) membolehkan komuniti rangkaian MYREN saling bekerjasama dan berkomunikasi secara terus untuk menjalankan aktiviti pendidikan dan penyelidikan di seluruh negara. MYREN juga menyokong peranan NREN yang menjadi pemacu utama dalam memenuhi keperluan pendidikan dan penyelidikan, komunikasi dan kolaborasi yang cekap dan efektif.
Secara keseluruhannya, manfaat yang dapat diperolehi daripada MYREN adalah seperti yang berikut:
- Transformasi pendidikan tanpa sempadan.
- Membolehkan pelaksanaan pendidikan global dan penyelidikan daripada pelbagai sudut.
- Portfolio komprehensif berkeupayaan untuk rangkaian “end-to-end”, cloud dan kepercayaan yang membolehkan komuniti bekerja dengan cara yang baharu.
- Mempercepatkan penemuan penyelidikan, memajukan pendidikan pada peringkat negara dan global.
- Mencari, menggunakan dan menentukan bukan sahaja teknologi dan aplikasi yang baru, tetapi model berpendidikan dan ekonomi untuk mengembangkan generasi baru Research and Education (R & E).
- Kerjasama dalam sektor pendidikan dalam rangkaian tempatan dan antarabangsa.
- Hab sempadan dalam pendidikan dan teknologi penyelidikan.
Maklumat Lanjut
Setiausaha Bahagian
Bahagian Pengurusan Maklumat,
Kementerian Pengajian Tinggi,
Aras 6, No.2, Menara 2,
Jalan P5/6, Presint 5,
62200 Putrajaya
(u.p.: Unit Rangkaian)
No. Telefon : 03-8870 6061
No. Faksimile : 03-8870 6819
E-mel : urk@mohe.gov.my
Pautan : myren.net.my
