Tadbir Urus
Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AIGE)
Latar belakang / Overview
Pada September 2024, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) sebagai langkah strategik bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara selamat, beretika, dan bertanggungjawab di Malaysia. Garis panduan ini merupakan sebahagian daripada strategi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025, yang menekankan kepimpinan AI, keselamatan siber, pengurusan risiko, dan penilaian impak AI.
Bertemakan "AI untuk Malaysia, AI untuk Semua", AIGE berperanan memperkukuh kepercayaan awam terhadap AI, mengurangkan risiko etika, dan meningkatkan penerimaan teknologi ini dalam pelbagai sektor. Walaupun bersifat sukarela, garis panduan ini bertujuan memberi manfaat kepada tiga kumpulan utama:
- Orang Awam/Pengguna – Meningkatkan kesedaran tentang hak dan tanggungjawab dalam penggunaan AI.
- Pembangun dan Penggubal Dasar – Sebagai panduan dalam merangka dasar serta peraturan berkaitan AI.
- Pembangun dan Penyedia Teknologi – Memastikan pembangunan AI sejajar dengan prinsip etika yang ditetapkan.
Garis Panduan AIGE juga menyokong beberapa United Nations Sustainable Development Goals (SDG) berdasarkan lima bidang utama penggunaan AI di peringkat nasional, iaitu pertanian & perhutanan, perubatan & kesihatan, bandar pintar & pengangkutan, pendidikan, serta perkhidmatan awam.
Prinsip dan Pemantauan AIGE menggariskan tujuh prinsip utama dalam penggunaan AI secara bertanggungjawab yang sejajar dengan garis panduan badan antarabangsa seperti UNESCO, OECD, dan Suruhanjaya Eropah:
Prinsip pertama ialah prinsip keadilan, yang bertujuan mengelakkan bias dan diskriminasi dalam aplikasi AI. Kedua, prinsip kebolehpercayaan, keselamatan, dan kawalan, yang memastikan AI beroperasi secara selamat dan boleh dipercayai. Ketiga, prinsip privasi dan keselamatan data, yang memberi penekanan kepada perlindungan maklumat peribadi pengguna daripada sebarang penyalahgunaan.
