Tadbir Urus
Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12)
Pendahuluan
Tahun 2020 menandakan berakhirnya tempoh Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020. Sebagai kesinambungan, pelan pembangunan pasca 2020 akan digubal dengan menetapkan hala tuju strategik yang jelas bagi menentukan hala tuju pembangunan negara dalam tempoh satu dekad dan menyediakan rangka kerja asas pelaksanaannya. Ini bagi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan bermakna ke arah masyarakat yang lebih makmur.
Rancangan Malaysia Kedua Belas
Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) akan dijajarkan dengan inisiatif kemakmuran bersama berasaskan tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial.
Pemerkasaan Ekonomi
Dimensi pemerkasaan ekonomi meliputi sumber dan bidang baharu pertumbuhan termasuk Revolusi Perindustrian 4.0, ekonomi digital, industri aeroangkasa dan pembangunan wilayah yang bersepadu serta pemboleh pertumbuhan seperti sumber tenaga yang mampan dan ketersambungan infrastruktur.
Kemampanan Alam Sekitar
Dimensi kemampanan alam sekitar pula mengambil kira antara lain, ekonomi biru, teknologi hijau, tenaga boleh baharu serta adaptasi dan mitigasi perubahan iklim.
Perekayasaan Sosial
Dimensi perekayasaan social mencakupi peningkatan nilai-nilai murni, penambahan kuasa beli rakyat, pembentukan masyarakat Bumiputera yang berdaya tahan, pengukuhan jaringan keselamatan sosial, dan peningkatan kesejahteraan rakyat.




