Bandar Pintar
Program Smart city RAP 2020
Latarbelakang/Overview Inisiatif
Selaras dengan pembangunan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia yang dilancarkan pada September 2019, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menganjurkan program Smart City Rap 2020 secara virtual sepenuhnya selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 November 2020. Program ini turut melibatkan kolaborasi bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta rakan industri bandar pintar seperti The Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Perbadanan Putrajaya (PPj), Cyberview Sdn. Bhd, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Esri Malaysia, TMOne, Boost, Sena Traffic dan lain-lain.
Program Smart City Rap bertujuan untuk menjadi sebuah platform perkongsian idea, kepakaran dan pengalaman antara pihak berkepentingan khususnya PBT dan agensi terlibat dalam pembangunan bandar pintar di Malaysia. Objektif program ini adalah untuk i) menggalakkan pelaksanaan bandar pintar di Malaysia melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman berkaitan bandar pintar; ii) meningkatkan kesedaran tentang keupayaan penyelesaian dan perkhidmatan bandar pintar (smart city solutions and services) dalam pengurusan dan pembangunan bandar; dan iii) mewujudkan peluang kerjasama dan kolaborasi antara Kerajaan dan pihak industri dalam pelaksanaan bandar pintar.
Peserta program ini terdiri daripada wakil-wakil daripada Kerajaan Negeri, PBT, Jabatan/Agensi Persekutuan, pihak akademia serta pemain-pemain industri bandar pintar negara. Ia melibatkan 10 sesi perkongsian daripada 15 buah agensi Kerajaan pelbagai peringkat serta pemain industri. Antara topik sesi perkongsian termasuk Accelerating Smart Cities through Strategic Partnership; Towards Smart Governance and Smart Communities; Towards Cashless Society; Improving Traffic Management Through Smart Mobility dan lain-lain. Pelaksanaan program ini serta agenda bandar pintar negara secara keseluruhannya menyokong usaha ke arah mencapai Goal 11 Sustainable Development Goals (SDG) iaitu Sustainable Cities and Communities.
Outcome/Impak
Program Smart City Rap 2020 telah diadakan melalui platform Webex dengan disertai oleh 586 peserta manakala siaran melalui Facebook live KPKT, PLANMalaysia, MIGHT, PPj dan Cyberview mendapat sebanyak 182,000 tontonan sepanjang dua hari tersebut. Penyertaan tinggi daripada pelbagai pihak berkepentingan ini menunjukkan bahawa agenda bandar pintar semakin mendapat perhatian dan menjadi hala tuju bagi perancangan, pembangunan dan pengurusan bandar pada masa kini.
Selain itu, program ini juga telah membuka lebih luas peluang kerjasama dan kolaborasi antara pihak Kerajaan dan pihak industri dalam pelaksanaan inisiatif bandar pintar melalui proses matching berdasarkan soal selidik dan penilaian program yang dilaksanakan.
Maklumat Lanjut
Nama,telefon dan e-mel pegawai untuk dihubungi:
Puan Nurulain binti Bachok @ Abdul Karim
03-88915509
Media Sosial (Facebook/Twitter/Instagram) jika ada :
https://www.facebook.com/KPKTMalaysia/
Agensi bertanggungjawab : KPKT & PLANMalaysia
https://www.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/675

