Tindak balas serta Pemulihan Bencana
PENGAPLIKASIAN SISTEM DEFENCE GEOSPATIAL INFORMATION MANAGEMENT (DGIM) DALAM PENGURUSAN BENCANA
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi peneraju pengurusan bencana sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan agar risiko kejadian bencana dapat dikurangkan dan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana dapat ditingkatkan. Sehubungan dengan itu, NADMA telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menggunakan sistem Defence Geospatial Information Manangement (DGIM) dalam pengurusan bencana. DGIM dibangunkan oleh pihak JUPEM dan merupakan sistem yang berteraskan perkongsian data spatial dalam aplikasi Geographic Information System (GIS) pelbagai agensi seperti di Rajah 1 dan Rajah 2. Initiatif ini selari dengan Sustainable Development Goals (SDG), iaitu SDG 11 Sustainable Cities and Communities bagi mewujudkan persekitaran hidup yang berkualiti untuk bandar dan komuniti setempat. Kebanyakan kawasan bandar yang berpenduduk padat juga terdedah kepada risiko bencana.
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2 Tahun 2022 pada 12 September 2022 telah bersetuju dengan cadangan untuk mengaplikasikan keupayaan sistem DGIM dalam pengurusan bencana negara. Data-data geospatial dari pelbagai agensi boleh dimanfaatkan bagi tujuan pengurusan bencana. Walau bagaimanapun, data-data tersebut berada di pelbagai platform dan tidak diintegrasikan secara sistematik. Melalui DGIM, semua data tersebut akan diintegrasikan menerusi satu platform sahaja dan boleh diakses dengan cepat dan mudah.
Sistem DGIM memberi penjimatan dari aspek kewangan kerana pihak NADMA selaku pengguna tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melantik perunding luar bagi membangunkan sistem ini. Sistem DGIM yang dibangunkan oleh pihak JUPEM pada tahun 2015 ini telah tersedia untuk digunakan dalam konteks pengurusan bencana negara.
OUTCOME/IMPAK
Melalui sistem DGIM, pihak NADMA telah membangunkan Dashboard Pengurusan Bencana (DPB) seperti di Rajah 3 yang beroperasi 24 jam di bilik operasi Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi membolehkan situasi terkini kejadian bencana di sesuatu lokasi dipantau dan diperolehi berdasarkan satu sumber sahaja. Pelbagai data dipaparkan melalui DPB dan antaranya adalah profil daerah/mukim, guna tanah, jumlah penduduk, kemudahan utiliti dan infrastruktur, lokasi hot spot banjir, cerun kritikal, jalan dan lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Data-data ini dapat membantu dalam menilai anggaran kerosakan dan mengatur gerak bantuan kepada mangsa bencana jika bencana melanda sesebuah kawasan. Data-data tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga boleh melaporkan aktiviti masing-masing melalui DPB untuk dipantau oleh pihak NADMA. Laporan situasi bencana juga boleh disediakan dari semasa ke semasa untuk makluman pihak stakeholder berdasarkan data-data yang terdapat di DPB.
Satu kumpulan kerja geo-dataraya pengurusan bencana yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah NADMA telah ditubuhkan agar perkongsian data spatial pelbagai agensi melalui sistem DGIM dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Ia juga bagi memastikan data-data yang dikongsi adalah tepat dan terkini selain membolehkan setiap agensi memberi cadangan dan pandangan untuk menambahbaik pengggunaan sistem DGIM. Ia sekaligus mewujudkan kerjasama pintar antara pelbagai agensi dalam menguruskan bencana di negara ini.
Kumpulan kerja ini dianggotai oleh wakil dari pelbagai agensi seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Meteorologi Malaysia, PLANMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Pusat Geospatial Negara. Pengggunaan sistem DGIM boleh membantu dalam meningkatkan kompetensi berhubung penggunaan GIS dan ICT dalam bidang pengurusan bencana di kalangan pegawai dan agensi yang terlibat.
Sistem DGIM mempunyai keupayaan untuk mewujudkan keunggulan maklumat (Information Superiority) yang merupakan keupayaan yang sangat diperlukan oleh pihak NADMA selaku focal point pengurusan bencana negara. Oleh itu, penggunaan sistem DGIM yang berteraskan perkongsian data spatial dalam aplikasi GIS rentas agensi membolehkan sebarang keputusan yang berkaitan dengan pengurusan bencana dapat dibuat berdasarkan data-data terkini, mudah dicapai dan tepat.

Rajah 1: Kepelbagaian Data Geospatial Menjadi Asas Sistem Defence Geospatial Information Management (DGIM)

Rajah 2: Intergrasi Data Sistem Defence Geospatial Information Management (DGIM)


Rajah 3: Dashboard Pengurusan Bencana (DPB)
MAKLUMAT LANJUT
Nama : Nazaruddin Sharaai
Telefon : 017-6101312
E-mel : nazaruddin@nadma.gov.my
Agensi : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri
