Kawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan organisasi sukarela atau organisasi berasaskan komuniti yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melalui Akta RT 2012 (Akta 751). Ia berperanan sebagai peneraju keselamatan, kesejahteraan, keharmonian dan perkhidmatan kepada komuniti.
KRT juga berfungsi sebagai penggerak dan penjalin hubung dalam komuniti dalam melaksanakan pelbagai aktiviti ke arah pembangunan komuniti yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
Fungsi dan tugas jawatankuasa KRT:
- Menjalankan apa-apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat
- Menerima maklumat, memerhati dan menyiasat semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian dan penyiasatan itu kepada Pengarah
- Mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana
- Menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamaian atau selainnya menyelesaikan apa-apa pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat
- Menjalankan apa-apa fungsi atau tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke semasa.
Permohonan penubuhan KRT boleh dibuat melalui Sistem Maklumat Perpaduan.
Permohonan Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga