KESELAMATAN & KOMUNITI
Dasar Perpaduan Negara merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Dasar ini menjadi panduan utama negara dalam usaha memupuk integrasi nasional, membina identiti nasional serta mengeratkan hubungan antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Dasar Perpaduan Negara memberi fokus kepada tiga teras utama: Patriotisme dan demokrasi berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara Membentuk identiti nasional dan masyarakat berintegriti dan berakhlak mulia Memupuk ekosistem perpaduan dalam kehidupan seharian
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan organisasi sukarela atau organisasi berasaskan komuniti yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melalui Akta RT 2012 (Akta 751). Ia berperanan sebagai peneraju keselamatan, kesejahteraan, keharmonian dan perkhidmatan kepada komuniti. KRT juga berfungsi sebagai penggerak dan penjalin hubung dalam komuniti dalam melaksanakan pelbagai aktiviti ke arah pembangunan komuniti yang mampan, inklusif dan berdaya saing. Fungsi dan tugas jawatankuasa KRT: Menjalankan apa-apa aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat Menerima maklumat, memerhati dan menyiasat semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian dan penyiasatan itu kepada Pengarah Mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana Menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamaian atau selainnya menyelesaikan apa-apa pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat Menjalankan apa-apa fungsi atau tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke semasa. Permohonan penubuhan KRT boleh dibuat melalui Sistem Maklumat Perpaduan.
Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah suatu skim yang dipohon oleh sekumpulan penduduk yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 orang dan berumur 18 tahun ke atas secara sukarela. Ia ditubuhkan dengan bertujuan untuk memastikan kawasan komuniti sentiasa selamat dan sejahtera dari aktiviti jenayah dan masalah sosial melalui aktiviti rondaan dan pencegahan jenayah. Tugas utama anggota SRS: Meronda di dalam kawasan sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Mengawal di Pusat Kawasan pada apa-apa waktu sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah Mengawal di mana-mana premis, tempat atau lokasi di dalam kawasan sebagaimana yang dikehendaki oleh Pengarah. Permohonan untuk mengendalikan SRS di keseluruhan atau sebahagian kawasan hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga. Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian atau manual mengikut saluran yang ditetapkan.
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Perpaduan Negara yang komited dalam memacu integrasi nasional dan perpaduan menerusi pembudayaan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 2012, YSS telah melaksanakan lebih daripada 100 misi berimpak tinggi di dalam negara serta serantau Asia Tenggara (Indonesia, Laos, dan Vietnam). Misi-misi ini telah berjaya memberi manfaat dan impak positif kepada lebih 1 juta komuniti. Fokus Utama YSS: Memupuk semangat perpaduan dan nilai sukarelawan secara menyeluruh dalam jiwa mahasiswa Menjalin kerjasama strategik untuk membela nasib isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta golongan yang memerlukan dan terpinggir Menyediakan platform pembangunan diri berterusan bagi melahirkan mahasiswa sebagai ejen perubahan yang berimpak tinggi Ikuti platform media sosial rasmi YSS untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelbagai program menarik yang boleh disertai oleh mahasiswa.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan program sukarelawan komuniti bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebajikan dan bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan. Kategori aktiviti sukarelawan yang disediakan: Perkhidmatan sokongan sosial dan bimbingan kaunseling Khidmat pemulihan dan kesihatan, pendidikan moral dan akademik Program keagamaan, sukan, kebudayaan dan kesenian Penempatan pekerjaan Pengurusan bencana Program khidmat bantu di rumah (KBDR) Syarat umum untuk menjadi sukarelawan JKM: Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas Bersedia dan berminat serta sukarela dalam kerja- kerja kebajikan kepada klien jabatan Sihat fizikal dan mental Tiada sebarang rekod jenayah Permohonan boleh dilakukan di mana-mana pejabat JKM atau secara dalam talian.
Portal eKomuniti merupakan platform dalam talian yang dibangunkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, pertubuhan kebajikan, sektor korporat dan orang awam. Melalui e-Komuniti, anda boleh: mendaftar sebagai Sukarelawan JKM secara dalam talian mendaftar Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan melihat senarai PSK aktif melihat senarai sumbangan yang diperlukan PSK menyumbang kepada keperluan PSK memohon bantuan kewangan kerajaan kepada PSK
MyCHAMPION ialah program sukarelawan kesihatan yang berdaftar dan dilatih untuk membantu menyampaikan maklumat kesihatan serta menggalakkan amalan hidup sihat dan penjagaan persekitaran dalam komuniti. Latar Belakang Program MyCHAMPION diperkenalkan pada tahun 2020 dengan penglibatan sukarelawan daripada lima entiti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu: COMBI KOSPEN Duta Kenali Ubat Anda (DKUA) Ikon Gigi Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Wakil Kesihatan Kampung (Sarawak) JU C-HAT Antara Peranan MyChampion: Mendidik, memperkasa dan menggerakkan individu, ahli keluarga dan komuniti dalam pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran Melaksanakan aktiviti intervensi perubahan tingkah laku mencegah dan mengawal faktor risiko penyakit Melaksanakan aktiviti memberi nasihat, peringatan, teguran dan panduan bagi memastikan komuniti terus mengamalkan pembudayaan hidup sihat Menjadi ikon komuniti dalam mengamalkan pembudayaan hidup sihat Kriteria penyertaan: Terbuka kepada semua yang berumur 18 tahun dan ke atas. Pendaftaran MyChampion: Melalui aplikasi MySejahtera Selepas mendaftar, kit latihan MyCHAMPION yang mengandungi buku-buku digital, video-video dan pautan sesawang untuk melaporkan aktiviti yang dijalankan akan dihantar melalui e-mel Kelebihan Menjadi MyChampion: Kemahiran pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran Membuka ruang untuk jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan Elaun ketika bertugas semasa wabak / krisis kesihatan Memohon Geran Projek Promosi Kesihatan MyCHAMPION (GPPKM) Perlindungan insuran bagi MyCHAMPION yang aktif Layak menyertai Pertandingan Anugerah MyCHAMPION
Sukarelawan Rakan Muda merupakan inisiatif di bawah Rakan Prihatin, salah satu daripada 10 gaya hidup Rakan Muda yang menekankan pembudayaan semangat kesukarelawanan. Sukarelawan Rakan Muda adalah: Individu berumur 15 hingga 30 tahun Warganegara Malaysia Menyertai program secara sukarela di bawah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sukarelawan Rakan Muda turut berperanan dalam memupuk nilai empati, semangat kerjasama dan tanggungjawab sosial dalam kalangan belia. Antara aktiviti yang dilaksanakan di bawah Sukarelawan Rakan Muda ialah: Sukarelawan komuniti Bantuan kepada golongan memerlukan Program kebajikan dan kemanusiaan Bantuan semasa bencana Aktiviti kesedaran sosial dan komuniti
Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) ialah program kerajaan yang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk meningkatkan pendapatan komuniti. Sasaran penyertaan: Komuniti penduduk yang berdaftar dengan pihak yang diberi kuasa Komuniti belia yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) Syarat permohonan: Program/ aktiviti yang dapat meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat dalam enam sektor utama Program bersifat quick win iaitu aktiviti yang membuahkan hasil dalam tempoh yang singkat di antara tiga (3) hingga enam (6) bulan Enam (6) sektor utama: Pertanian dan makanan Jahitan dan kraf tangan Herba dan kesihatan Pelancongan dan hospitaliti Aktiviti hijau dan kitar semula Perkhidmatan Proses pelaksanaan program: Permohonan Kelulusan Pemberian dana maksima sehingga RM100K Pemantauan program Sijil Pengesahan Komuniti atau persatuan belia perlu mendaftar terlebih dahulu di portal MySejaTi MADANI bagi mendapatkan ID pendaftaran sebelum mengemukakan sebarang permohonan.
Menjadi sukarelawan bukan sahaja tentang menyumbang tenaga dan kepakaran dalam memberi manfaat kepada komuniti dan mansyarakat. Ia juga memerlukan pengetahuan dan kemahiran tertentu bagi aktiviti khusus seperti sokongan emosi serta psikososial kepada mangsa. Melalui Institut Sosial Malaysia (ISM), anda boleh mengikuti beberapa bengkel kesukarelawanan yang boleh meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sebagai sukarelawan. Antara Program yang Ditawarkan: Bengkel Sukarelawan Peringkat Asas Pengenalan kepada prinsip dan etika serta falsafah kesukarelawanan, hak dan tanggungjawab serta kemahiran asas yang diperlukan oleh sukarelawan. Bengkel Sukarelawan Peringkat Pertengahan Pengetahuan tentang kemahiran kepimpinan, pengurusan konflik, pendanaan, pengurusan aktiviti, membina jaringan strategik dan pengurusan data sukarelawan. Bengkel Sukarelawan Peringkat Lanjutan Pengetahuan tentang advokasi dan perundangan serta pemerkasaan komuniti. Bengkel Training for Trainers (TOT) Sukarelawan Pendedahan tentang peranan jurulatih, ciri-ciri jurulatih berkesan, teknik dalam penyampaian berkesan. Kursus Bantuan Awal Psikologi ( Psychological First Aid - PFA) Pendedahan tentang krisis/bencana dan impak psikologi ke atas mangsa, mengaplikasikan prinsip tindakan PFA: Bersedia ( Prepare ) Melihat ( Look ) Mendengar ( Listen ) Menghubung ( Link ) dalam membantu mangsa yang berada dalam krisis dan mempraktikkan penjagaan kendiri apabila membantu orang lain. Sasaran Peserta Sukarelawan komuniti Ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penjawat awam/swasta/korporat Pemimpin masyarakat Belia dan pelajar IPT Individu yang berminat dalam kerja sukarela Bengkel ini membantu peserta memahami peranan sukarelawan secara lebih mendalam serta membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang secara berkesan kepada masyarakat. Selain daripada bengkel, anda juga boleh mengikuti webinar kesukarelawanan merangkumi beberapa aspek seperti: Penjagaan asas OKU, warga emas dan kanak-kanak Pemerkasaan sukarelawan Kesaksamaan gender Program yang ditawarkan ISM ini boleh dihadiri secara fizikal atau dalam talian melalui portal EPPESO serta melalui media sosial ISM seperti zoom meet/facebook /instagram.