Pendaftaran merupakan langkah pertama untuk memulakan perniagaan. Ia membantu mewujudkan identiti perniagaan yang sah.
Mempunyai identiti perniagaan yang sah membolehkan usahawan mendapatkan lesen, permit atau kemudahan perniagaan seperti pinjaman perniagaan, geran perniagaan, insentif perniagaan, subsidi perniagaan atau lain-lain kemudahan perniagaan yang berkaitan.
Pemilihan identiti perniagaan yang bersesuaian diperlukan berdasarkan bilangan pemilik, skala perniagaan, keperluan modal, tanggungan pemilik dan rancangan perkembangan perniagaan.
Bentuk Entiti Perniagaan
- Milikan Tunggal
Dimiliki sepenuhnya oleh seorang individu di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Sesuai untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau mengurus perniagaan sendiri.
Syarat umum:
- Warganegara Malaysia atau penduduk tetap
- Berumur sekurang-kurangnya 18 tahun
Perniagaan boleh didaftarkan menggunakan:
- Nama sendiri seperti yang tercatat pada kad pengenalan; atau
- Nama tred, iaitu nama perniagaan yang dipilih dan perlu mendapat kelulusan SSM
- Perkongsian
Perniagaan yang dimiliki sekurang-kurangnya dua orang dan tidak melebihi 20 orang rakan kongsi.
- Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
Menggabungkan ciri perkongsian konvensional dengan beberapa ciri sebuah syarikat.