Bandar Pintar
Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM)
Apakah Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM)?
Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM) merupakan sebuah rangka kerja peringkat nasional yang berperanan sebagai panduan dan rujukan khususnya kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri, kementerian dan jabatan, pemain industri, ahli akademik serta pihak berkepentingan lain untuk merancang dan membangunkan bandar pintar yang holistik di Malaysia dan seiring dengan perkembangan semasa. Dokumen ini antara lain menerangkan definisi bandar pintar dalam konteks Malaysia, 7 komponen utama bandar pintar, hala tuju polisi dan turut menggariskan cadangan strategi dan inisiatif bandar pintar bagi setiap komponen yang boleh dijadikan contoh dan rujukan oleh pihak berkepentingan yang berhasrat untuk melaksanakan inisiatif bandar pintar di Malaysia.
Mengapa RKBPM dibangunkan?
Penyediaan RKBPM adalah berdasarkan kepentingan pelaksanaan dan pembangunan bandar pintar di Malaysia. Kerajaan Malaysia percaya bahawa bandar pintar merupakan pendekatan masa hadapan bagi perancangan, pembangunan dan pengurusan bandar yang boleh memberi penyelesaian terhadap cabaran perbandaran seperti penyampaian perkhidmatan perbandaran yang kurang cekap, pencemaran alam sekitar dan kesesakan lalu lintas, seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar. RKBPM turut dibangunkan bagi memenuhi agenda nasional dan global khususnya ke arah mencapai objektif Sustainable Development Goals (SDGs) serta memastikan bahawa Malaysia sentiasa seiring dengan arus pembangunan perbandaran di peringkat global.
Kandungan RKBPM

Definisi dan Komponen Bandar Pintar
Dalam konteks Malaysia, bandar pintar ditakrifkan sebagai ‘bandar yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemajuan teknologi dan inovasi dalam menangani isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan alam sekitar yang mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang lebih cekap’. Matlamat bandar pintar Malaysia adalah untuk menyelesaikan isu dan cabaran perbandaran ke arah mencapai kestabilan 3 tonggak utama iaitu ekonomi yang berdaya saing, alam sekitar yang mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
7 komponen utama yang diberi perhatian dalam pembangunan bandar pintar di Malaysia adalah:
- Smart Economy
- Smart Living
- Smart Environment
- Smart People
- Smart Government
- Smart Mobility; dan
- Smart Digital Infrastructure
Apakah Impak Yang diperolehi Melalui RKBPM Ini?
Pembangunan RKBPM akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan bandar pintar di Malaysia khususnya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaku pengurus bandar. Melalui inisiatif bandar pintar, cabaran perbandaran di peringkat tempatan akan diatasi dan dapat dilihat melalui perangkaan berdasarkan indikator yang ditetapkan oleh pelaksana inisiatif dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup pelbagai lapisan masyarakat bandar.
Rantaian Kehadapan
Bandar pintar adalah trend pembangunan baru yang diperhatikan di banyak negara di seluruh dunia. Beberapa buah bandar yang aktif dalam melaksanakan strategi bandar pintar termasuklah Amsterdam, Barcelona, Seoul, Stockholm, Singapura, Phuket dan Jakarta. Oleh itu, pembangunan bandar pintar yang terancang, bersepadu dan holistik di negara ini amat penting bagi memastikan Malaysia sentiasa seiring dengan arus pembangunan perbandaran di peringkat global.
Trend bandar pintar ini disokong oleh ledakan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) termasuk penggunaan Internet of Things (IoT), Cloud Computing, Open Data dan Big Data Analytics. Trend ini merebak dengan cepat dan akan memberi impak yang besar kepada ekonomi global dan mengubah cara hidup masyarakat dunia secara umumnya. Dalam konteks ini, Malaysia perlu bersedia menyambut gelombang revolusi digital ini dan menggunakannya untuk mengatasi cabaran dan limitasi fizikal serta mencipta kelebihan ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan pembangunan negara yang pintar dan mampan.
Maklumat Lanjut
Nama : Nurulain Bachok @ Abdul Karim
Ahmad Fareed bin Abdul Rahman
No Telefon : 03-8915509
03-88913079
Emel : nurulain@kpkt.gov.my
