Dasar, Standard, Pekeliling dan Garis Panduan
Identiti Digital Nasional (IDN)
Latarbelakang
Kerajaan Malaysia mengambil perhatian serius mengenai kepentingan identiti digital selaras dengan arus pendigitalan sejagat masa kini. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2019 telah bersetuju supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi (KKMM) dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan kajian terperinci Rangka Kerja Identiti Digital Nasional.
Sehubungan itu SKMM telah melantik PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk mengendalikan kajian bermula pada 21 November 2019 dan telah selesai pada 31 Ogos 2020. Lapuran Rangka Kerja Identiti Digital Nasional ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September 2020 melalui Nota Jemaah Menteri oleh KKMM dan dipersetujui untuk menimbangkan bahawa perlaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Disamping itu, Mesyuarat Majlis Digital Ekonomi dan 4IR Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Oktober 2020 juga telah bersetuju mengenai perlaksanaan IDN. Pada 19 Februari 2021, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Pelan Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia atau MyDigital bagi merancakkan aktiviti dan urus niaga yang didorong oleh sektor awam dan swasta untuk menghasilkan, mengadopsi dan menginovasi teknologi dan perkhidmatan digital berkaitan dengan fungsi sosio-ekonomi untuk peningkatan kekayaan, produktiviti dan kualiti hidup rakyat Malaysia. Inisiatif IDN merupakan sebahagian dari program dalam MyDigital untuk meningkatkan keselamatan, menambah baik penyampaian perkhidmatan dan lebih memudahkan.
Lanjutan dari itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri pada 14 April 2021 dan Jemaah Menteri bersetuju pelaksanaan IDN diterajui oleh KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pengenalan Identiti Digital
Merupakan satu kaedah untuk pengesahan identiti seseorang di alam maya berasaskan pendekatan ‘What You Are’, ‘What You Have’ dan ‘What You Know’ yang disokong oleh rangkakerja identiti digital yang dipercayai (trusted digital identity framework).
IDN adalah suatu bentuk pengenalan digital yang digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan digital dan melakukan transaksi dalam talian secara lebih selamat. Walau bagaimanapun, IDN tidak akan menggantikan kad pengenalan. Sasaran utama pemilik IDN adalah rakyat Malaysia dan akan diperluaskan kepada pemastautin yang menetap di Malaysia.
Ciri-ciri IDN
- Platform IDN beroperasi pada tahap kepercayaan yang tinggi untuk warganegara, kerajaan dan komuniti perniagaan
- Setiap warganegara dan penduduk yang layak akan didaftarkan dalam program IDN
- Memanfaatkan data demografi JPN untuk pengeluaran IDN
- Data biometrik baru (Cap Jari, Iris dan Muka) dan data demografi tambahan akan disimpan di dalam pangkalan data IDN
- IDN adalah nombor rawak yang dihubungkan dengan nombor kad pengenalan di dalam pangkalan data IDN. Nombor Kad Pengenalan digunakan oleh Warganegara & Pemastautin Tetap untuk transaksi IDN.
- Biometrik pelbagai-mod (“multi-modal”) akan diambil bagi setiap pemohon yang mendaftar.
- IDN akan membolehkan pengesahan identiti secara nyata dan dalam talian, serta perkhidmatan e-KYC.
- IDN akan memastikan reka bentuk yang menekankan aspek keselamatan dan privasi.
- IDN adalah unik untuk sepanjang hayat, dan seseorang individu tidak boleh mempunyai dua ID Digital
- Platform IDN adalah saling hubung (“interoperable”) dan berasaskan dasar keselamatan negara dan piawaian antarabangsa
Justifikasi keperluan IDN
Pembangunan dan perlaksanaan IDN perlu disegerakan bagi menjayakan pelaksanaan perkhidmatan secara end-to-end,. IDN akan menyediakan satu bentuk pengenalan digital yang akan digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan digital dan melakukan transaksi dalam talian secara lebih selamat.
Sebarang transaksi yang dilaksanakan secara digital perlu disahkan untuk membuktikan ianya dilakukan oleh orang yang sebenar. Perkhidmatan digital (sektor awam dan swasta) yang lebih selamat, cekap dan berkesan (trusted digital services) kepada rakyat sangat diperlukan bagi merancakkan perkhidmatan secara maya ini. Disamping itu perkhidmatan IDN ini juga boleh menjana kecemerlangan ekonomi digital dan pendapatan negara.
Perlaksanaan Projek IDN
IDN dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2023 di mana pembangunan sistem IDN akan bermula seawal tahun 2022. Permohonan bajet bagi pelaksanaan IDN telah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk pelaksanaan projek bagi tahun 2022 sehingga 2025.
Faedah dari Projek IDN
Pelaksanaan IDN ini membolehkan rakyat memperolehi suatu pengenalan diri digital unik yang akan digunakan dalam pelbagai perkhidmatan digital dan boleh menambahbaik kualiti kehidupan.
Kerajaan juga akan memperolehi platform pengumpulan dan pengesahan pengenalan diri selari dengan teknologi terkini dengan merekodkan data biometrik baru (10 cap jari, muka dan iris) penduduk Malaysia secara berpusat di JPN.
IDN akan memberi tambah nilai kepada pelbagai sektor perkhidmatan dengan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa dalam proses pengesahan pengenalan diri. Disamping itu IDN juga dapat mengelakkan pemalsuan pengenalan diri dalam transaksi perkhidmatan digital dan ini akan mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Disediakan oleh:
Jabatan Pendaftaran Negara,
Kementerian Dalam Negeri.
