ICT Sebagai Perkhidmatan
MyDashboard @Portal MyGovernment
Latar belakang
MyDashboard merupakan satu fasiliti yang diberikan kepada pengguna berdaftar di Portal MyGovernment dan maklumat dalam MyDashboard hanya boleh dilihat oleh pengguna itu sahaja.
MyDashboard membolehkan capaian maklumat peribadi pengguna dan capaian perkhidmatan digital daripada pelbagai agensi serta pengurusan transaksi perkhidmatan dalam talian iaitu permohonan dan semakan yang dibuat oleh pengguna secara berpusat di Portal MyGovernment.
Antara kelebihan MyDashboard ialah:
- Capaian maklumat secara berpusat di mana pengguna dapat mencapai paparan semasa mengenai profil pengguna, meliputi data/maklumat peribadi, kenderaan, kebajikan, lesen, saman polis dan JPJ dan sebagainya secara masa-nyata
- Individu boleh memantau dan mengurus maklumat sendiri dalam satu antaramuka tanpa perlu mengakses capaian di pelbagai agensi pemilik data.
- Individu sentiasa dalam keadaan alert kepada tarikh/maklumat penting (contoh: tempoh tamat pasport, lesen pemandu dan cukai jalan, temujanji)
- Data dicapai dari sumber data perkhidmatan digital kerajaan yang melaksanakan urusan dan transaksi yang berkenaan dan pengguna tidak perlu ragu tentang kesahihan data kerana ianya dari sumber yang sah.
MyDashboard terdiri daripada beberapa komponen di dalamnya iaitu:
Profil Peribadi
Pengguna boleh mengurus data peribadi seperti alamat, jantina, bangsa dan agama yang boleh digunapakai untuk permohonan yang memerlukan maklumat pemohon. Fungsi ini memudahkan rakyat di dalam membuat sesuatu permohonan. Selain itu, pengguna juga dapat menyimpan maklumat kesihatan dirinya.
Di dalam Profil Peribadi juga terdapat beberapa kategori maklumat yang dibaca terus daripada pangkalan data agensi pemilik data tersebut seperti maklumat pasport daripada Jabatan Imigresen Malaysia, maklumat lesen memandu, maklumat kenderaan yang dimiliki dan semakan saman daripada Jabatan Pengangkutan Jalan serta status saman trafik PDRM. Pengguna juga boleh mengakses maklumat peperiksaan yang telah diduduki sebelum ini seperti MUET, SPM, SPMU dan juga STPM.
Walau bagaimanapun, capaian sesetengah data dari agensi pemilik data tertentu seperti semakan pendaftaran kenderaan dan passport memerlukan pengguna membuat pengesahan identiti secara bersemuka terlebih dahulu di mana-mana kaunter yang menyediakan pengesahan identiti menerusi sistem MyIdentity Jabatan Pendaftaran Negara. Pengesahan sebegini adalah bagi menjamin keselamatan data pengguna dicapai di Portal MyGovernment.
Profil Syarikat
Rakyat diberikan kemudahan untuk mengurus dan menyimpan maklumat profil syarikat di dalam MyDashboard ini bagi tujuan rujukan oleh perkhidmatan yang berkaitan. Portal MyGovernment menyediakan perkhidmatan bagi pengguna membuat permohonan baru lesen peniaga atau taksidemi di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di mana maklumat profil syarikat ini akan diambil melalui maklumat yang telah disimpan di dalam MyDashboard bagi membolehkan proses permohonan ini dibuat secara efisien.
Profil Keluarga
MyDashboard menyediakan fungsi bagi pengguna menyimpan maklumat keluarga bagi memudahkan urusan permohonan pendaftaran sekolah Tahun 1 dan juga pra sekolah yang disediakan di dalam portal MyGovernment. Maklumat keluarga yang disimpan ini juga boleh digunapakai bagi proses membuat tempahan janji temu klinik Kementerian Kesihatan Malaysia dan seterusnya boleh menjimatkan masa pengguna di dalam mengisi borang permohonan atau tempahan.
Kalendar
Fungsi kalendar yang terdapat di dalam MyDashboard ini membolehkan pengguna mengakses tarikh penting yang melibatkan pengguna di mana pengguna boleh memasukkan tarikh penting tersebut di dalam kalendar beserta fungsi peringatan yang boleh ditetapkan mengikut kesesuaian pengguna. Tarikh-tarikh cuti umum telah dipaparkan secara default di dalam kalendar pengguna.
MyInterest
MyInterest menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk membuat tetapan bagi memaparkan kandungan dan artikel berdasarkan minat dan kecenderungan pengguna tanpa perlu untuk mencari pada keseluruhan portal.
Peti Pesanan
Peti pesanan disediakan bagi memastikan pengguna memperolehi mesej atau status terkini yang melibatkan pengguna sepanjang tempoh penggunaan di Portal MyGovernment.
Pengurusan Transaksi
MyDashboard akan menyimpan segala log transaksi permohonan atau semakan yang dibuat oleh pengguna melalui portal MyGovernment untuk tujuan rujukan pengguna. Antara maklumat yang dipaparkan adalah tarikh hantar permohonan, nama permohonan, agensi dan juga status permohonan tersebut.
Maklumat Lanjut
SITI FAIEYQAH BINTI MOHD FISALL
03-88725179 / faieyqah@mampu.gov.my
Pautan Kepada Halaman Yang Spesifik Beserta FAQNota: Pautan ini hanya boleh diakses setelah log masuk.
