Kamus Data
Data Dictionary Sektor Awam (DDSA)
Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) merujuk kepada satu set keterangan piawai mengenai sesuatu data yang merangkumi elemen-elemen seperti nama elemen data, alias (nama lain elemen data), keterangan ringkas, saiz medan data, jenis data, dan rasional penggunaan elemen tersebut. DDSA
DDSA juga menetapkan standard kod data bagi elemen-elemen tertentu untuk diguna pakai oleh semua agensi Sektor Awam, bagi memastikan penyeragaman data, kebolehgunaan bersama, serta integrasi sistem antara agensi kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan bersepadu.
Sistem DDSA boleh diakses melalui https://sddsa.jdn.gov.my. Data dictionary terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu:
1. Data Generik; dan
2. Data Aplikasi Spesifik
a) Sumber Manusia;
b) Pengurusan Projek;
c) Tanah dan GIS;
d) Perakaunan dan Kewangan;
e) Perdagangan dan Industri;
f) Perolehan dan Pengurusan Aset;
g) Kesihatan;
h) Pelajaran;
i) Data Islamik; dan
j) Statistik.
Latar Belakang
Kemajuan pesat bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi serta peningkatan pelaksanaan program pengkomputeran di agensi-agensi sektor awam telah mewujudkan keperluan untuk berkongsi maklumat dan mengintegrasi sistem-sistem di kalangan agensi kerajaan. Perkara ini sukar dilakukan disebabkan tiada satu definisi dan format data yang standard yang boleh diguna pakai oleh semua agensi kerajaan.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Data Dictionary Sektor Awam telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1999 yang dipengerusikan oleh MAMPU (kini dikenali sebagai JDN) dan ahli kumpulan kerja daripada agensi sektor awam yang bertanggungjawab untuk merancang, memantau dan menyelaras pembangunan kamus data mengikut kumpulan kerja. 11 kumpulan kerja telah ditubuhkan dalam membangunkan kamus data generik dan data aplikasi spesifik.
Pekeliling Am Bil. 2 Tahun 2002 – “Penggunaan dan Pemakaian Data Dictionary Sektor Awam (DDSA) Sebagai Standard di Agensi-Agensi Kerajaan” telah dikeluarkan pada 2 September 2002 bertujuan untuk menjelaskan penggunaan DDSA sebagai standard di semua agensi kerajaan serta menerangkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi-agensi kerajaan dalam melaksanakannya.
Objektif
Mewujudkan standard atau piawaian bagi elemen yang merangkumi struktur dan kod yang perlu digunapakai oleh agensi-agensi Sektor Awam bagi memudahkan usaha-usaha perkongsian maklumat menerusi integrasi dan interoperabiliti sistem.
Faedah Penggunaan DDSA
Secara keseluruhannya pelaksanaan penggunaan DDSA ini akan memberi faedah-faedah seperti berikut:
a) Memudahkan pelaksanaan dan pengintegrasian sistem-sistem aplikasi di dalam dan di antara agensi;
b) Memudahkan pertukaran data antara agensi-agensi kerajaan;
c) Membantu agensi-agensi kerajaan dalam pembangunan sistem aplikasi;
d) Membenarkan pengguna-pengguna untuk berkomunikasi antara satu dengan lain menggunakan definisi dan format data yang sama;
e) Menyediakan asas untuk melaksanakan dokumentasi yang standard di agensi-agensi kerajaan; dan
f)Memudahkan perhubungan antara sektor awam dan sektor swasta melalui penggunaan definisi data yang standard.
Rantaian Kehadapan
Pengurusan Sistem DDSA akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengurusan pengguna dan data yang lebih cekap serta menyokong penambahbaikan sistem melalui pembangunan sub modul Kamus Data di portal MyGDX 2.0 yang dijangka bermula pada tahun 2026.
Dengan pelaksanaan ini, Sektor Awam Malaysia akan mempunyai satu standard bersepadu yang boleh diguna pakai oleh semua agensi kerajaan. Ini akan memudahkan usaha-usaha integrasi sistem dan kebolehoperasian (interoperability) antara agensi-agensi sektor awam, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara menyeluruh.
Maklumat lanjut
Maklumat lanjut mengenai DDSA boleh dirujuk kepada Urus Setia Data Dictionary Sektor Awam seperti di bawah:
Emel : urusetiaddsa@jdn.gov.my
Pautan URL: https://sddsa.jdn.gov.my
