KEUSAHAWANAN
Menggaji pekerja merupakan salah satu langkah penting apabila perniagaan mula berkembang dan memerlukan tenaga tambahan untuk menyokong operasi. Bagi usahawan baharu, keputusan untuk mengambil pekerja perlu dibuat dengan teliti kerana ia melibatkan komitmen kewangan, pengurusan sumber manusia dan tanggungjawab undang-undang sebagai majikan. Sebelum mengiklankan jawatan, majikan disarankan menentukan keperluan pengambilan terlebih dahulu, seperti: Nama jawatan Bilangan pekerja yang diperlukan Skop tugas dan tanggungjawab Kelayakan akademik, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan Lokasi serta waktu bekerja Jenis pekerjaan seperti tetap, kontrak atau separuh masa; Julat gaji yang ditawarkan Tarikh mula bekerja dan tempoh pengambilan Maklumat yang jelas membantu calon memahami jawatan dan memudahkan proses pemadanan dengan pencari kerja yang bersesuaian. Bagi usahawan yang ingin mengambil dan menggaji pekerja, mereka boleh mengiklankan kekosongan jawatan dan mengurus permohonan melalui MYFutureJobs. Perkhidmatan pengambilan pekerja ini disediakan secara percuma. Kelebihan menggunakan platform MYFutureJobs Mengiklankan peluang pekerjaan Akses kepada pencari kerja tempatan Akses kepada perkhidmatan pekerjaan PERKESO
Jika anda mula menggaji pekerja, anda wajib mendaftar sebagai majikan dengan KWSP. Daftar sebagai majikan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh anda mula menggaji pekerja pertama. Anda juga perlu memastikan caruman bahagian majikan dan pekerja dibuat mengikut kadar serta tempoh yang ditetapkan. Kadar Caruman Kadar caruman adalah tertakluk kepada Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991 Tempoh Bayaran Caruman Bayar caruman pada atau sebelum 15 haribulan pada bulan berikutnya. Contohnya, caruman bagi upah bulan Januari perlu dibayar pada atau sebelum 15 Februari. Bayaran selepas tarikh tersebut boleh dikenakan caj lewat bayar. Sebagai majikan, anda juga perlu mengetahui jenis bayaran upah yang tertakluk dan tidak tertakluk kepada caruman KWSP. Urusan KWSP melalui i-Akaun (Majikan) Setelah berdaftar sebagai majikan, anda boleh menggunakan i-Akaun (Majikan) untuk menjalankan pelbagai urusan KWSP secara dalam talian. Antara urusan yang boleh dilakukan melalui i-Akaun (Majikan) ialah: Mendaftarkan pekerja sebagai ahli KWSP Mengurus maklumat pekerja dan penggajian Menyediakan dan menghantar maklumat caruman Membuat bayaran caruman KWSP Menyemak rekod dan sejarah bayaran caruman
Sebagai majikan, anda mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pekerja yang layak mendapat perlindungan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Antara perkara yang perlu anda tahu sebagai majikan: Mendaftar sebagai majikan dengan PERKESO Majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih perlu membuat pendaftaran dan memastikan maklumat perniagaan adalah lengkap serta terkini. Mendaftar dan mengemaskini maklumat pekerja Setiap pekerja yang tertakluk kepada perlindungan PERKESO perlu didaftarkan untuk tujuan caruman. Sekiranya pekerja telah berhenti, maklumat tersebut juga perlu dikemaskini di dalam Portal ASSIST. Membuat bayaran caruman setiap bulan Majikan perlu membuat pembayaran caruman selewat-lewatnya pada 15 hari bulan bagi caruman bulan sebelumnya untuk mengelakkan caj lewat bayar. Contoh; caruman bulan Ogos 2026 hendaklah dibayar selewat-lewatnya pada 15 September 2026. Melaporkan kemalangan pekerjaan Jika pekerja mengalami kemalangan berkaitan pekerjaan, majikan perlu membuat laporan kepada PERKESO dalam tempoh yang ditetapkan dan menyediakan dokumen sokongan yang berkaitan. Menyimpan rekod pekerja dan caruman bagi setiap pekerja Rekod berkaitan maklumat pekerja, gaji, caruman dan kemalangan perlu disimpan bagi tujuan pematuhan dan semakan.