KEUSAHAWANAN
Bagi usahawan yang menjalankan perniagaan berkaitan makanan dan minuman, keselamatan makanan merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian. Keselamatan makanan melibatkan pengendalian, penyediaan, penyimpanan, pemprosesan dan penyajian makanan dengan cara yang dapat mengurangkan risiko pencemaran serta memastikan makanan selamat untuk dimakan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian berkaitan keselamatan makanan: Suntikan typhoid bagi pengendali makanan Kebersihan diri pengendali makanan Kebersihan premis dan peralatan Kawalan suhu semasa penyimpanan dan penyediaan Sumber bahan mentah yang bersih dan selamat Penyimpanan bahan makanan dengan betul Kawalan makhluk perosak Pengurusan sisa Sebagai usahawan makanan, anda perlu memastikan pekerja yang mengendalikan makanan memenuhi keperluan yang ditetapkan termasuk mengikuti Latihan Pengendali Makanan. Selain itu, anda juga perlu menyemak keperluan lesen PBT, pendaftaran premis makanan dan keperluan lain dengan KKM dan agensi tertentu mengikut jenis operasi yang dijalankan.
MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) merupakan skim pensijilan keselamatan makanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu usahawan makanan memenuhi keperluan minimum program jaminan keselamatan makanan. Skim ini sangat sesuai untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor makanan yang ingin membangunkan sistem kawalan keselamatan makanan secara lebih teratur. Pegawai KKM akan menilai tahap pematuhan premis dan sistem kawalan keselamatan makanan sebelum pensijilan diberikan. Tempoh sah laku: 3 tahun
Secara umumnya, usahawan makanan yang baru bermula akan menyediakan makanan dari dapur rumah mereka. Bagi menyokong usahawan ini dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pengguna, Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-based Food) telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Program ini menggalakkan pengusaha home-based food mengamalkan amalan kebersihan dan penyediaan makanan yang selamat seterusnya mematuhi keperluan perundangan semasa. Melalui penyenaraian ini, ia mampu meningkatkan hasil jualan melalui penggunaan logo pada label produk mereka. Penyenaraian ini terbuka kepada pengusaha home-based food yang menghasilkan makanan di dapur rumah untuk tujuan jualan dan memenuhi syarat ditetapkan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan. Tempoh sah laku: 3 tahun
Pensijilan Trust MyCatering merupakan satu mekanisme kawalan keselamatan makanan yang komprehensif bagi industri perkhidmatan makanan untuk memastikan pematuhan kepada keperluan keselamatan dan kualiti makanan. Ini adalah bagi menangani isu keracunan makanan melibatkan industri perkhidmatan makanan secara lebih proaktif. Pensijilan ini juga merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pengusaha perkhidmatan makanan yang komited dalam menghasilkan makanan yang selamat. Bimbingan secara berterusan akan diberikan kepada pengusaha perkhidmatan makanan yang memohon pensijilan ini. Kategori perkhidmatan penyediaan makanan yang layak memohon pensijilan Trust MyCatering adalah seperti: Penyediaan makanan untuk sesuatu acara/ program, majlis perkahwinan, jamuan, rumah terbuka, seminar, konvensyen, persidangan, atau mesyuarat Majlis-majlis lain yang dikendalikan di restoran, kantin/ dewan makan asrama (kilang, agensi kerajaan/ swasta, institusi pendidikan) Hospital/ pusat rawatan harian Dapur hotel Katering-kontrak Mana-mana perkhidmatan makanan yang melibatkan semua golongan pengguna Tempoh sah laku: 3 tahun
BeSS (Bersih dan Selamat) merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada premis makanan (tidak melibatkan kilang makanan) yang dinilai memenuhi kriteria kebersihan dan keselamatan makanan. Bagi usahawan makanan, pengiktirafan BeSS boleh membantu meningkatkan keyakinan pelanggan kerana premis yang telah diiktiraf boleh mempamerkan sijil dan logo BeSS sebagai tanda bahawa premis telah melalui penilaian KKM. Pengiktirafan BeSS sesuai untuk pengusaha premis makanan di Malaysia, seperti: Restoran / kedai makan / kafeteria Gerai makan Kantin sekolah Kios - apa-apa struktur pondok kecil atau gerai (statik atau bergerak) dalam bangunan yang terlibat bagi penyediaan, penyajian dan penjualan sebarang makanan dan minuman ringan Premis berangkai Semua kenderaan yang terlibat dalam menyediakan dan menjual makanan sedia dimakan seperti food truck. Antara aspek yang diberi perhatian BeSS termasuk: Mengekalkan premis yang bersih Menyediakan makanan yang selamat Tempoh sah laku: 3 tahun
Pensijilan Halal Malaysia merupakan pengiktirafan rasmi yang mengesahkan bahawa sesuatu produk, premis atau perkhidmatan memenuhi keperluan halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pensijilan ini meliputi bukan sahaja bahan yang digunakan, tetapi juga aspek pemprosesan, penyimpanan, pengendalian, kebersihan, peralatan, logistik dan sistem kawalan dalaman. Pensijilan halal boleh melibatkan pelbagai sektor, antaranya: Produk makanan dan minuman Premis makanan Produk Kosmetik Produk farmaseutikal Rumah sembelihan Pengilangan kontrak atau OEM Produk peranti perubatan Perkhidmatan logistik Barangan Gunaan Persediaan Sebelum Memohon Sebelum membuat permohonan, usahawan disarankan untuk memastikan: Perniagaan telah berdaftar dengan agensi yang berkaitan Semua bahan mentah dan ramuan mempunyai sumber yang jelas Pembekal dan dokumen sokongan bahan dapat dikenal pasti Premis memenuhi aspek kebersihan dan susun atur yang sesuai Proses pengeluaran dan penyimpanan dapat mengelakkan pencemaran silang Rekod bahan, pembekal dan proses operasi disimpan dengan teratur Pekerja memahami keperluan asas halal dan kebersihan Bagi usahawan yang ingin memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), permohonan perlu dibuat melalui Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL).
MyHALAL MARA merupakan inisiatif strategik Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan halal dalam kalangan usahawan Bumiputera. Program ini bersesuaian untuk usahawan yang masih belum bersedia sepenuhnya untuk memohon sijil halal JAKIM secara terus. Antara kemudahan yang disediakan melalui MyHALAL MARA termasuk: Khidmat nasihat dan bimbingan halal oleh Eksekutif Halal MARA Geran untuk mendapatkan pensijilan Halal melalui Program Business Enrichment Standardization Transformation (BEST) Konsultasi dan lawatan tapak bagi tujuan pra-audit halal Latihan / Seminar Halal yang diiktiraf JAKIM melalui Institusi Pendidikan MARA (IPMA) Kemudahan Pembiayaan ubah suai premis dan pembelian peralatan (CERT) bagi tujuan mendapatkan pensijilan Kemudahan premis dan infrastruktur komersial termasuk MARA Halal Industrial Park (MHI Park) MARA turut menyediakan Borang Penilaian Ketersediaan MyHALAL MARA yang membantu menilai tahap kesediaan perniagaan bagi mendapatkan pensijilan Halal.