PELANCONGAN
Malaysia ialah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai destinasi menarik serta keunikan budaya masyarakat majmuk. Sama ada anda mencari keindahan alam semula jadi, pengalaman bandar yang moden atau warisan sejarah yang memukau, semuanya ada di Malaysia. Terokai destinasi yang menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa di pautan berikut: Senarai portal pelancongan negeri:
Ingin tahu acara pelancongan sepanjang tahun di Malaysia? Anda boleh menyemak acara pelancongan rasmi yang dianjurkan di seluruh negara seperti berikut: Antara acara/ program berskala nasional dan antarabangsa merangkumi: Acara seni dan budaya Festival Program pelancongan Pameran Sukan Hiburan
Semasa melancong, penginapan yang selamat dan selesa tentunya menjadi keutamaan anda. Untuk memudahkan anda membuat pilihan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyediakan senarai hotel yang dikategorikan sebagai premis penginapan pelancong (PPP) yang berdaftar secara rasmi. Dengan memilih penginapan yang berdaftar, anda boleh bercuti dengan lebih yakin kerana ia mematuhi syarat pelesenan dan garis panduan kerajaan.
Pelancongan Mesra Muslim di Malaysia menawarkan pengalaman percutian yang selesa, inklusif dan mudah diakses untuk semua pelancong. Dengan kemudahan makanan halal, ruang solat, penginapan mesra keluarga serta perkhidmatan yang memahami keperluan pelancong Muslim, Malaysia memastikan setiap perjalanan lebih tenang, menyeronokkan dan bermakna sepanjang berada di negara ini.
Hotel Mesra Muslim menawarkan perkhidmatan penginapan yang selesa, bersih dan inklusif kepada pelancong Muslim sambil memastikan semua tetamu menikmati pengalaman penginapan yang berkualiti dan memuaskan sepanjang perjalanan mereka. Antara ciri umum Hotel Mesra Muslim: Premis makanan dan minuman yang disahkan halal oleh JAKIM Kemudahan arah kiblat dan penyediaan sejadah Kemudahan solat atau surau di premis Hiburan yang bersesuaian dengan tetamu Muslim Persekitaran yang menjaga sensitiviti dan privasi tetamu Muslim Logo Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance Recognition (MFAR) Logo pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance Recognition (MFAR) menjadi simbol keyakinan bagi semua pelancong yang mementingkan penginapan yang selamat dan bersih serta hospitaliti mesra. Terdapat tiga tahap penarafan MFAR: Perak: Premis penginapan pelancong yang mematuhi syarat am MFAR dan mencapai keperluan asas pelancong Muslim Emas: Premis penginapan pelancong yang mematuhi syarat am MFAR dan melebihi keperluan asas pelancong Muslim Platinum: Premis penginapan pelancong yang mematuhi syarat am MFAR dan mencapai tahap tertinggi keperluan pelancong Muslim
Agensi Pelancongan Mesra Muslim merupakan syarikat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memenuhi keperluan pelancongan tetamu Muslim yang menitikberatkan prinsip Islam sambil memberi perkhidmatan berkualiti kepada semua.
Tingkatkan pengalaman pelancongan anda dengan layanan rakan kembara atau dikenali sebagai Pemandu Pelancong Mesra Muslim (MFTG). Rakan kembara ini bukan sahaja arif tentang khazanah warisan dan alam semula jadi Malaysia, malah mereka juga merupakan individu yang terlatih untuk menyantuni setiap keperluan gaya hidup Muslim dengan penuh peka. Sama ada anda menerokai sejarah kota atau keindahan rimba, rakan kembara bersedia memastikan setiap langkah anda diiringi dengan keselesaan dan ketenangan minda.
Malaysia menawarkan sisi pelancongan yang unik menerusi gerbang masjid-masjidnya yang ikonik. Daripada kehalusan seni bina yang menggabungkan tradisi dan kemodenan, hingga ke ruang interaksi yang tenang, setiap sudut rumah ibadat ini menceritakan naratif budaya dan sejarah yang mendalam. Di setiap lokasi, kehadiran pemandu pelancong masjid sebagai duta masjid bersedia menyantuni para pelawat sambil berkongsi informasi bagi meningkatkan persefahaman antara pelbagai budaya.
Penggredan Hotel merupakan satu inisiatif rasmi bagi menilai dan mengiktiraf tahap kualiti perkhidmatan serta amalan kelestarian hotel-hotel yang beroperasi di Malaysia. Dua jenis penggredan hotel utama: Penarafan Bintang Menilai tahap kemewahan, kemudahan dan kualiti perkhidmatan hotel Penarafan Orkid Tumpuan kepada penginapan bajet yang menekankan aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan asas Inisiatif Green Hotel Inisiatif Green Hotel diperkenalkan bagi mengiktiraf hotel yang mengamalkan prinsip kelestarian alam sekitar seperti pengurusan penggunaan air, tenaga dan sisa pepejal. Kategori Premis Hotel Premis penginapan juga dikategorikan mengikut lokasi dan konsep seperti berikut: Terletak di kawasan bandar atau pusat pentadbiran dengan kemudahan lengkap Berhampiran kawasan rekreasi dan menawarkan pelbagai aktiviti riadah Terletak melebihi 300 meter dari aras laut atau berhampiran kawasan alam semula jadi Mempunyai reka bentuk unik dan tidak konvensional seperti kapsul, kontena atau rumah pokok Menawarkan perkhidmatan eksklusif, mesra dan bersifat peribadi dengan konsep tersendiri Menyediakan kemudahan seperti apartmen servis untuk penginapan jangka pendek atau panjang Anda boleh menyemak status Penggredan Hotel di pautan berikut:
Sekiranya anda ingin mendapatkan khidmat spa dan rawatan, anda boleh menyemak status penggredan Spa dan Premis Kesejahteraan dan Urutan (PKU). Penggredan ini memastikan perkhidmatan kesejahteraan dan urutan di Malaysia ditawarkan secara berkualiti, selamat serta mematuhi standard yang ditetapkan kerajaan.
Semakan agensi pelancongan berlesen merupakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk membantu anda memastikan pembelian pakej pelancongan melalui pengusahaan agensi pelancongan yang sah dan berlesen. Semakan ini penting untuk: Mengelakkan risiko penipuan dengan entiti tidak berlesen Mendapat perkhidmatan yang sah dari segi undang-undang dan mematuhi standard industri Meningkatkan keyakinan pelanggan semasa membuat pembelian pakej pelancongan
Semakan Senarai Pemandu Pelancong Berlesen ialah perkhidmatan dalam talian oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi membantu anda mendapatkan jurupandu pelancongan yang sah dan berlesen. Semakan ini membantu: Mengelakkan penipuan dan pihak tidak berlesen Mendapat maklumat yang tepat serta pengalaman pelancongan berkualiti Memastikan perjalanan lebih lancar, selamat dan sampai ke destinasi yang dituju dengan yakin
Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) merupakan kemudahan penginapan yang disediakan khusus untuk penjawat awam dan pesara kerajaan bagi tujuan percutian, rehat dan kesejahteraan. RPP menawarkan kemudahan penginapan pada kadar yang berpatutan di pelbagai lokasi strategik dan destinasi pelancongan di seluruh Malaysia termasuk di Singapura dan kota London. Senarai RPP Premier Kelayakan: Gred 12 dan ke atas RPP Tanjung Tuan, Port Dickson, Negeri Sembilan RPP Banglo Port Dickson, Negeri Sembilan RPP Bukit Fraser (The Lodge), Pahang RPP Cameron Highland, Pahang RPP Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan RPP Singapura RPP London Senarai RPP Eksekutif RPP Cameron Highland, Pahang RPP Bukit Fraser, Pahang RPP Pulau Pinang RPP Morib, Selangor RPP Tasik Kenyir, Terengganu RPP Port Dickson, Negeri Sembilan RPP Pulau Pangkor, Perak Selain daripada itu, terdapat juga Rumah Tamu yang merupakan rumah penginapan sementara untuk kegunaan pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri. Senarai Rumah Tamu (RT) RT Putrajaya RT Jalan Ang Seng, Kuala Lumpur RT Tanjung Kupang, Johor Permohonan dan tempahan penginapan RPP dan RT boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi Sistem Pengurusan Maklumat Hartanah (ProMIS), tertakluk kepada syarat kelayakan dan kekosongan semasa.
Apakah Agropelancongan? Agropelancongan merujuk kepada satu bentuk pelancongan berasaskan sektor agromakanan yang merangkumi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani yang menawarkan pengalaman rekreasi, pendidikan serta interaksi kepada pengunjung, di samping menjana ekonomi dan meningkatkan pendapatan pengusaha. Antara contoh aktiviti agropelancongan: Lawatan ke ladang (buah, sayur, herba, ternakan) Aktiviti memetik hasil dusun dan tanaman (contoh: durian, strawberi) Pengalaman tinggal di kampung/ farm stay Demonstrasi pertanian moden dan teknologi agro Jualan produk agro tempatan (madu, kopi, keropok ikan, produk hiliran) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyediakan Direktori Pusat Agropelancongan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi dan perkhidmatan agropelancongan di seluruh Malaysia.
Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) merupakan inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Program ini membolehkan pelancong merasai sendiri kehidupan dan layanan mesra masyarakat desa yang sebenar. Selain daripada menginap, pelancong juga boleh melalui pengalaman berikut: Tinggal bersama keluarga angkat Menyertai aktiviti harian komuniti Menghayati keunikan budaya, makanan warisan dan gaya hidup penduduk tempatan Program ini berfungsi untuk menghubungkan pelancong dengan khazanah budaya dan warisan yang mencerminkan keunikan Malaysia.
