Rukun Negara
Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia. Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian:
Bahagian Pertama
Menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat
- Memelihara satu cara hidup demokratik
- Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama
- Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan;
- Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
Bahagian Kedua
Menggariskan Lima Prinsip Rukun Negara yang berikut:
- Kepercayaan Kepada Tuhan
- Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
- Keluhuran Perlembagaan
- Kedaulatan Undang-undang
- Kesopanan dan Kesusilaan
Rujukan: Jabatan Penerangan Malaysia
Tarikh dikemaskini: 17/10/2025
