KESELAMATAN & KOMUNITI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab dalam menjaga keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara. Peranan dan tanggungjawab ini termaktub di bawah seksyen 3(3) Akta Polis 1967. Antara peranan utama PDRM: Memelihara undang-undang dan ketenteraman Mengekalkan Keamanan dan keselamatan Mencegah dan mengesan jenayah Menangkap dan mendakwa pesalah Mengumpul risikan keselamatan PDRM juga menyediakan pelbagai perkhidmatan digital kepada rakyat seperti semakan saman, laporan polis tertentu dan permohonan berkaitan melalui portal rasmi mereka.
Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) membuka peluang kepada warganegara Malaysia untuk menyumbang khidmat secara sukarela dalam membantu PDRM melaksanakan tugas-tugas berkaitan keselamatan, pencegahan jenayah, kawalan ketenteraman awam serta program kemasyarakatan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara. Kelebihan menyertai sukarelawan PDRM: Elaun penugasan mengikut ketetapan semasa Elaun pakaian seragam Latihan kepolisan serta pembangunan kompetensi diri Pengalaman berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat serta negara Pendedahan kepada pelbagai aktiviti dan operasi kepolisian Peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar PDRM
Volunteer Smartphone Patrol (VSP) merupakan aplikasi mudah alih rasmi yang diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia bagi membantu orang awam menyalurkan maklumat, aduan dan laporan menerusi platform multimedia seperti gambar, video dan koordinat GPS dengan lebih cepat dan mudah. Antara fungsi utama aplikasi VSP ialah: Aduan awam Tinggalkan rumah / balik kampung Butang panik Persepsi rasa selamat
Fungsi utama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah untuk memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran, serta memberikan khidmat kemanusiaan yang cekap dan berkesan termasuk perlindungan nyawa dan harta benda semasa berlakunya sebarang bencana atau kecemasan. Fungsi-fungsi yang dijalankan oleh Jabatan mengikut peruntukan di bawah seksyen 5(1) & (2) di dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) adalah seperti berikut : Memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran. Melindungi nyawa dan harta sekiranya berlaku kebakaran. Menentukan adanya jalan keluar kebakaran, penyelenggaraan dan pengawal seliaan yang sempurna. Menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran. Melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya apa-apa bencana. JBPM boleh selain daripada tugas-tugasnya dibawah subseksyen (1), melaksanakan apa-apa tugas lain yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh undang-undang atau sebaliknya yang diadakan oleh menteri untuk dilaksanakan.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) merupakan pasukan sukarelawan yang membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam usaha pencegahan kebakaran, pengoperasian, penyelamatan dan bantuan kecemasan di kawasan setempat. Pasukan ini diwujudkan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi kecemasan serta mempercepat bantuan awal sebelum ketibaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pegawai Bomba Sukarela (PeBS) juga diberikan latihan asas berkaitan kebakaran, keselamatan dan penyelamatan bagi memastikan mereka mampu menjalankan tugas dengan lebih cekap dan selamat. Sekiranya kawasan anda memerlukan sebuah Pasukan Bomba Sukarela, berikut merupakan langkah yang boleh diambil: Kenal pasti keperluan kawasan Kenal pasti risiko kebakaran dan kecemasan di kawasan anda. Jarak dengan balai bomba berhampiran. Dapatkan sokongan penduduk/komuniti setempat bagi keahlian. Tubuhkan jawatankuasa penaja Lantik penyelaras atau jawatankuasa penaja. Kenal pasti calon anggota daripada komuniti setempat. Tetapkan lokasi operasi PBS. Dapatkan sokongan dan kerjasama Berhubung dengan JBPM Negeri/Bahagian yang berdekatan untuk khidmat nasihat dan penyelarasan. Sediakan keperluan pendaftaran Senarai nama dan maklumat calon anggota. Maklumat lokasi dan kawasan liputan PBS. Maklumat organisasi/jawatankuasa PBS. Dokumen sokongan yang diperlukan oleh JBPM. Kemukakan permohonan kepada JBPM Permohonan penubuhan dan pendaftaran dikemukakan melalui saluran yang ditetapkan JBPM. JBPM akan menilai kesesuaian kawasan, keperluan operasi dan aspek keselamatan. Mendapat sokongan daripada Ketua Balai kawasan yang hendak diwujudkan PBS Anda juga perlu menghantar permohonan rasmi kepada Pengarah JBPM Negeri dengan justifikasi yang jelas.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ialah agensi keselamatan dan bantuan kecemasan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia berperanan membantu masyarakat sebelum, semasa dan selepas bencana, kecemasan, krisis dan operasi menyelamat selaras Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221). Antara fungsi utama APM ialah: Melaksanakan tugas menyelamat, perlindungan dan khidmat kemanusiaan dari sebarang ancaman musuh, bencana dan kecemasan Menyediakan perkhidmatan kecemasan dan khidmat bantuan kemanusiaan di seluruh negara Menilai dan menyebar maklumat, khidmat nasihat serta amaran kepada orang awam berkaitan sebarang ancaman musuh, kecemasan dan bencana APM juga mempunyai Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dengan kepakaran khusus seperti: Urban Search And Rescue (USAR) Operasi mencari dan menyelamat berisiko tinggi dan berbahaya Penyelamatan selam skuba Penyelamatan di udara, hutan dan air Selain itu, terdapat juga program-program pembangunan pasukan dan keselamatan di peringkat sekolah, institusi, universiti dan orang awam/komuniti seperti yang berikut: Tunas Pertahanan Awam (TUSPA) - Sekolah Rendah Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) - Sekolah Menengah Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) - Diploma & Setaraf Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) - Ijazah & Setaraf Civil Defence Auxiliary (CDA) - Sektor Kerajaan / Swasta / NGO / Komuniti
Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) ialah satu usaha pembaharuan oleh pihak Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi bagi mempertingkatkan serta memodenkan pengurusan sistem tindak balas kecemasan di seluruh negara. Fungsi Utama NG MERS 999: Menerima panggilan kecemasan daripada orang awam Menggunakan konsep single call taking di mana hanya data yang disalurkan kepada agensi kecemasan berkaitan kecuali PDRM yang masih menggunakan konsep double call taking Menentukan lokasi pemanggil untuk bantuan segera Menyelaraskan tindak balas kecemasan secara lebih pantas Agensi utama yang dihubungkan melalui NG MERS 999 ialah: Polis Diraja Malaysia Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kementerian Kesihatan Malaysia Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Talian 999 hendaklah dimanfaatkan bagi tujuan kecemasan yang sahih sahaja. Sebarang bentuk penyalahgunaan merupakan satu pelanggaran undang-undang di bawah Subseksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman iaitu: Denda maksimum RM500,000; Hukuman penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang masih berterusan selepas sabitan, denda tambahan sebanyak RM5,000 boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan tersebut dilakukan.
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) merupakan sebuah jabatan persekutuan yang menguruskan sukarelawan berteraskan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang berperanan membantu menjaga keselamatan, keamanan, perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara melalui penglibatan masyarakat dan komuniti secara sukarela. Secara umumnya, peranan RELA berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) adalah: Membantu mana-mana pihak berkuasa keselamatan apabila diperlukan Membantu membuat kawalan lalu lintas dan keselamatan awam Mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat Membantu melindungi bangunan dan harta benda hak milik kerajaan, badan berkanun atau harta persendirian apabila dimohon Individu yang menyertai RELA secara sukarela dikenali sebagai anggota RELA. Keahlian: sah bagi tempoh lima (5) tahun bermula dari tarikh pendaftaran dan boleh diperbaharui tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. Tahukah anda? Ketika melaksanakan penugasan rasmi, anggota RELA diberikan pengiktirafan sebagai penjawat awam di bawah pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574]. Faedah menjadi anggota RELA Sebagai sebahagian daripada penghargaan terhadap khidmat yang diberikan, anggota RELA layak menerima elaun penugasan mengikut kadar dan syarat yang ditetapkan serta lain-lain faedah yang ditawarkan Kerajaan.
Selain keanggotaan umum, RELA turut memperluaskan penglibatan golongan mahasiswa melalui Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) yang ditubuhkan di beberapa institusi pengajian tinggi dan universiti awam di seluruh negara. Antara objektif utama RELASIS adalah: Memupuk semangat patriotisme, disiplin dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Membangunkan kepimpinan, jati diri dan kemahiran insaniah (soft skills) Memberi pendedahan kepada aspek keselamatan, pengurusan bencana dan khidmat komuniti Keahlian RELASIS terbuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang berdaftar dan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh RELA serta institusi masing-masing.
Individu yang berminat untuk menyertai RELA sebagai anggota sukarelawan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut: Warganegara Malaysia; Berumur 18 tahun dan ke atas; Bukan anggota Angkatan Tentera Malaysia; dan Tidak menganggotai mana-mana pasukan atau skim sukarelawan berdaftar yang lain. Permohonan keahlian adalah tertakluk kepada tapisan dan kelulusan yang ditetapkan oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Setelah berdaftar sebagai anggota RELA, anda boleh mengakses pelbagai kemudahan dan perkhidmatan secara digital melalui platform MyRELA 2.0 . Antara perkhidmatan yang disediakan adalah: Permohonan penyertaan latihan dan kursus Pengurusan penugasan dan tuntutan elaun Pencalonan serta pengurniaan pingat Pengemaskinian maklumat dan rekod keanggotaan Akses kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan keanggotaan RELA MyRELA juga tersedia dalam bentuk aplikasi mudah alih.
Sistem MyRELA 2.0 merupakan platform digital rasmi milik RELA yang dibangunkan untuk memudahkan pengurusan keanggotaan, latihan, penugasan dan perkhidmatan RELA secara dalam talian. Antara modul utama platform MyRELA ialah: Anggota Pengurusan permohonan menjadi anggota RELA dan semakan status Latihan Pengurusan latihan dan kursus anggota Penugasan Pengurusan penugasan, kehadiran dan tuntutan elaun Pakaian Pengurusan keperluan pakaian uniform dan kelengkapan sampingan Pingat Pencalonan dan penganugerahan pingat MyRELA 2.0 juga tersedia dalam bentuk aplikasi mudah alih bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan RELA di mana-mana.